MELAKA, 31 Mac – Bekas Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali menyeru rakyat di negeri itu agar terus memberikan sokongan, dukungan dan kerjasama terbaik kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri yang baharu sama seperti yang diberikan kepadanya sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu turut menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dan keampunan daripada rakyat Melaka atas segala kelemahan, kesilapan, kesalahan dan kekhilafan sepanjang beliau menerajui kepimpinan kerajaan negeri itu. 

“Hari ini, sempena ‘sayyidul ayyam’ (hari Jumaat), adalah hari terakhir saya memegang amanah mengetuai dan memimpin pentadbiran kerajaan negeri Melaka sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 bermula dari 9 Mac 2020 yang lepas.

“Di kesempatan ini, saya ingin menzahirkan penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada rakyat Melaka yang dikasihi, atas segala sokongan, dukungan, pandangan, cadangan mahupun kritikan yang diberikan sepanjang saya melaksanakan amanah tersebut.

“Akhirul kalam, saya dan keluarga mendoakan agar seluruh rakyat dan negeri Melaka yang dicintai terus diberikan keselamatan, keamanan dan kemajuan sebagai sebuah negeri ‘baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur,” katanya.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam dilaporkan berkata ADUN Tanjung Bidara yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dicadangkan oleh parti itu sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari dipetik sebagai berkata Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia, akan dilangsungkan  di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam pada pukul 3 petang ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here