KUALA LUMPUR, 4 April – Teknologi blok rantai untuk sistem Sijil Tempasal Keutamaan (PCO) dari China akan memudahkan lagi eksport Malaysia ke China.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjelaskan sistem ini, menerusi rangka kerja tetingkap tunggal yang dicadangkan, bertujuan menambah baik pemudahan perdagangan dan mengurangkan halangan teknikal dengan menawarkan pemprosesan barangan yang lebih cekap dan terjamin dari Malaysia ke China.

“Tambahan pula, penggunaan e-sistem antara Malaysia dan China boleh memberi manfaat besar kepada perniagaan temasuk melancarkan proses pelepasan kastam dan mengurangkan kos penyimpanan di pelabuhan China.

“Kerjasama ini juga dijangka memberi peluang untuk pembangunan kapasiti modal insan dan perkongsian pengetahuan, manakala e-sistem ini menyokong pembangunan ekonomi hijau,” menurutnya.

MITI memaklumkan untuk menyokong pengiktirafan sijil tempasal digital secara bersama di bawah kerangka Perkongsian Ekonomi Komprehensitif Serantau (RCEP), Malaysia mengalu-alukan usaha untuk mengadakan dialog kerjasama dengan pihak Pentadbiran Am Kastam China (GACC).

Malaysia akan diwakili oleh kementerian, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dan agensi berkaitan lain yang akan menjadi sebahagian daripada dialog dengan GACC mengenai pembangunan sistem ini, jelas MITI.

“Inisiatif seperti sistem blok rantai untuk PCO ini akan mengukuhkan lagi hubungan perdagangan Malaysia-China, memanfaatkan rekod prestasi sedia ada China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lepas, serta momentum yang diwujudkan menerusi pelaksanaan RCEP antara negara anggota Asean dengan lima rakan perjanjian perdagangan bebasnya, termasuk China,” tambahnya.

MITI menjelaskan berdasarkan RCEP, negara yang menyertainya menyasar untuk menghapuskan atau mengurangkan tarif ke atas pelbagai barangan, yang boleh melonjakkan aliran perdagangan dan pelaburan antara negara anggota, di samping menyokong perlindungan hak harta intelek, e-dagang dan kerjasama ekonomi.

Menerusi langkah mengurangkan halangan ke atas perdagangan dan pelaburan, RCEP menyasar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh penyepaduan serantau dalam wilayah Asia-Pasifik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here