BEIJING, 5 Apr — Presiden China Xi Jinping menyeru agar usaha terus dipergiat dalam memantapkan kempen penghutanan ke arah membina China yang indah.

Seruan itu dibuat beliau ketika menghadiri aktiviti penanaman pokok di Beijing, pada Selasa.

Xi diiringi pemimpin lain termasuk Perdana Menteri Li Qiang menanam pokok bersama penduduk tempatan di sebuah taman di daerah Chaoyang, timur Beijing.

Presiden itu berkata kehadiran pemimpin dalam aktiviti seumpama adalah untuk memobilisasikan seluruh masyarakat menggembleng tenaga ke arah negara China yang indah.

China mendahului dunia dalam skala penanaman semula hutan buatan, dan kawasan penanaman masih berkembang, kata Xi, sambil menambah bahawa rakyat China membuat sumbangan besar dalam menghijaukan Bumi dan menguruskan perubahan iklim global.

“Hutan berfungsi untuk memulihara sumber air, menjana keuntungan ekonomi, meningkatkan pengeluaran bijirin dan juga mampu menyimpan karbon (carbon sink).

“Penanaman pokok besarnya makna kerana ia akan memberi manfaat kepada generasi akan datang dan perlu diteruskan secara konsisten,” kata beliau.

Xi menegaskan pembangunan hijau merupakan antara strategi utama yang dilaksanakan pada masa sekarang dan masa hadapan.

Menurut beliau, aktiviti menanam pokok membabitkan semua lapisan masyarakat merupakan langkah yang praktik bagi memajukan program penghijauan dan membina China yang indah.

Beliau mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan supaya memantapkan pelaksanaan kempen penanaman pokok dan menggalakkan penyertaan masyarakat secara sukarela.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here