KUALA LUMPUR, 11 April – Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengutuk kempen memburukkan Datuk Mohd Nazlan Ghazali selaku hakim yang mempengerusikan perbicaraan kes penggubahan wang haram dan pecah amanah SRC International dihadapi Datuk Seri Najib Razak pada 2020.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) menegaskan kempen digerakkan pihak yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri itu kelihatan direka untuk menjatuhkan pentadbiran undang-undang dan mencemarkan nama baik badan kehakiman Malaysia.

“Bersih dan GBM percaya bahawa kempen memburukkan Mohd Jazlan dan sistem kehakiman Malaysia oleh peguam dan rakan-rakannya berniat untuk mendapatkan pengampunan diraja kepada Najib yang akan membebaskan beliau daripada penjara.

“Kami dengan rendah diri memohon Yang di-Pertuan Agong dan semua rakyat Malaysia untuk menolak percubaan daripada penjenayah yang disabitkan dan rakan-rakannya untuk menjatuhkan pentadbiran keadilan, serta mencemarkan nama baik badan kehakiman.

“Harus ditegaskan bahawa Ketua Hakim Negara perlu diberikan ruang untuk menentukan sebarang tindakan yang bersesuaian secara bebas berdasarkan maklumat yang dirujuk kepada beliau,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan dikeluarkan BERSIH dan GBM turut menggariskan beberapa fakta untuk menyokong pendirian mereka termasuk isu pelanggaran kod etika hakim membabitkan Mohd Nazlan yang dikemukakan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam salinan surat daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang tular di media baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here