TANJUNG MALIM, 14 April – Kerajaan komited membantu pembangunan dan perkembangan industri tenaga boleh diperbaharui di negara ini, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata antara bantuan sokongan yang diberikan ialah suntikan dana RM5 bilion dalam menyokong projek pembangunan lestari.

“Kerajaan juga menyediakan dana RM2 bilion dalam Belanjawan 2023 bagi menyokong sektor tenaga hijau dan lestari, termasuk pembiayaan projek atau startups yang menggunakan teknologi hijau atau amalan rendah karbon,” katanya.

Ahmad berkata selain itu, Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) akan dilaksanakan dengan pertambahan peruntukan sejumlah RM3 bilion hingga 2025 dan skop pembiayaan diperluas kepada lebih banyak projek lestari, seperti Stesen Janakuasa Hidro Kecil dan EVs (kenderaan elektrik).

Katanya, kerajaan mengiktiraf pembangunan yang melibatkan karbon sifar bersih ataupun “net-zero emissions” menjelang 2050 dan berharap penyertaan lebih ramai daripada sektor swasta.

“Termasuklah penyertaan daripada G Capital Berhad (GCAP) dan PHREC (Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd). Kita tahu bahawa sumber ini ialah sumber yang tidak terlibat bahan-bahan mentah yang turun naik (tidak menentu) harganya dan tidak melibatkan peningkatan kos,” katanya.

GCAP melalui PHREC, ialah pemegang konsesi di Perak bagi 49 sungai untuk pembinaan loji kuasa hidroelektrik kecil dengan jumlah anggaran kapasiti sebanyak 286.1 megawatt (MW), di samping beberapa loji kuasa hidroelektrik kecil berkapasiti 26 MW yang akan dibangunkan di Pahang.

Dengan pelaburan sebanyak RM4.5 bilion, GCAP dalam kenyataan memaklumkan projek stesen hidroelektrik berkapasiti 300 MW dijangka mampu menghasilkan pendapatan sekurang-kurangnya RM12 bilion dari tarikh operasi komersial. 

Menurut GCAP sehingga kini, terdapat tiga loji kuasa hidroelektrik kecil dengan kapasiti sebanyak 29 MW di Perak yang sudah beroperasi dan bekalan elektrik yang dihasilkan disalurkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui perjanjian pembelian tenaga boleh diperbaharui (REPPA) yang ditandatangani.

 “Kini, misi konsesi adalah untuk membangunkan loji kuasa hidroelektrik selebihnya yang berkapasiti 257.1 MW di Perak dan 26 MW hidroelektrik di Pahang.

Difahamkan, sebanyak 110 MW daripadanya telah memperoleh Kelulusan Tarif Galakan (FiT) dan baki 118.2 MW sudah dirancang dengan kajian prakelayakan dan sistem kuasa yang lengkap, bersedia untuk bidaan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) di bawah Skim FiT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here