KUALA LUMPUR, 14 April – Pengasas Country Heights Holdings Bhd (CHHB) Tan Sri Lee Kim Yew menjelaskan bahawa beliau berada dalam kedudukan kukuh sebagai seorang usahawan di negara ini serta mampu membayar hutang.

Beliau juga menegaskan tidak pernah bertindak mengisytiharkan dirinya sebagai muflis atau memfailkan tindakan tersebut.

“Saya jauh daripada mengalami insolvensi (tidak mampu membayar hutang). Saya telah mengumpulkan aset ketara serta tidak ketara sepanjang 50 tahun pengalaman saya (dalam bidang ini).

“Saya tidak pernah mengisytiharkan diri sebagai muflis. Jika bankrap, anda tidak boleh menyumbang kepada masyarakat serta negara,” katanya.

Beliau membuat penjelasan tersebut selepas berita mengenai dakwaan dirinya muflis itu tular di media sosial dan turut memberi kesan terhadap mereka yang bimbangkan keadaan dirinya.

Lee sebaliknya mendakwa beliau telah menjadi sasaran seorang warga asing, Patrick Healy yang juga peguam serta rakyat Amerika Syarikat (AS) dan pernah bertugas dengan syarikat miliknya di AS yang dikenali sebagai Club Excellence Inc.

Beliau mendakwa Healy menerima bayaran dalam bentuk yuran perunding berjumlah US$570,000 (RM2.5 juta) bagi tempoh perkhidmatannya. 

Menurut Lee, selepas menutup syarikat tersebut kerana tidak lagi berminat menjalankan perniagaan di AS, Healy telah bertindak membawa perkara itu ke pihak Mahkamah Timbang Tara AS tanpa kehadirannya.

“Saya tidak hadir di mahkamah AS berikutan faktor jarak jauh serta COVID-19,” katanya.

Beliau mendakwa ini disusuli dengan tindakan mahkamah tersebut menjatuhkan hukuman yang berpihak kepada Healy.

Bagaimanapun, tiada sebarang pendedahan mengenai asas bagi tuntutan Healy terhadap Lee.

Susulan itu, Healy membawa penghakiman tersebut ke sebuah mahkamah Malaysia (Mahkamah Tinggi Shah Alam) yang mana beliau mendapat Perintah Adjudikasi (AO) dan Perintah Penerimaan (RO) terhadap Lee pada 26 Januari.

Lee mendakwa Healy telah menggunakan undang-undang kebankrapan untuk mengisytiharkan dirinya sebagai muflis.

“Susulan hakikat bahawa saya menjadi sasaran serangan di media sosial, saya bertindak menulis kepada Ketua Setiausaha Negara untuk membolehkan peguam kedua-dua belah pihak berunding bagi mengetepikan perintah mahkamah tersebut.

“Sekiranya gagal, saya akan memfailkan pernyataan keadaan saya kepada Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi (MDI) dengan memberi deposit tunai RM3 juta untuk langkah seterusnya ke atas Healy,” katanya.

Tiada Impak Ke Atas Country Heights Holdings

Sementara itu, CHHB menerusi kenyataan kepada para pemegang sahamnya hari ini, memberi jaminan bahawa “insiden peribadi” salah seorang pemegang sahamnya tidak akan menjejaskan prestasi kewangan mahu pun operasi syarikat.

Lee yang juga pemegang saham terbesar CHHB, menguasai 57.64 peratus kepentingan dalam kumpulan tersebut.

“Kami ingin menegaskan bahawa insiden peribadi mereka adalah perkara peribadi dan tidak akan menjejaskan operasi CHHB. Kami mempunyai pasukan pengurusan cekap dan struktur tadbir urus korporat yang kukuh bagi memastikan operasi perniagaan terus berjalan tanpa gangguan,” kata Pengarah Urusan Datuk Mircle Yap.

Yap juga menekankan bahawa kumpulan itu amat menghargai kepercayaan para pelabur dan sebarang keadaan kewangan dan insolvensi mana-mana pemegang sahamnya, tidak akan menjejaskan prestasi kewangan atau operasinya.

“Kumpulan ini mengiktiraf dan menghargai dasar tadbir urus korporat Bursa Malaysia yang utuh dan akan terus berdedikasi untuk mengekalkan standard etika serta profesionalisme terbaik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here