KUALA LUMPUR, 16 April – Seramai 9,400 warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan ditugaskan sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri bagi menjamin kestabilan bekalan elektrik di seluruh Semenanjung Malaysia.

Pengerusi TNB Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata penugasan giliran dan tunggu sedia itu dilakukan di stesen-stesen janakuasa, pusat kawalan dan seluruh rantaian perkhidmatan termasuk grid dan pencawang, bagi memastikan kelancaran penghantaran, pembahagian bekalan elektrik dan kesiapsiagaan perkhidmatan pelanggan.

“Walaupun tugasan ini adalah rutin harian warga kerja di bahagian perkhidmatan masing-masing, namun ia adalah satu pengorbanan tatkala orang ramai ceria menyambut Aidilfitri bersama keluarga, sedangkan mereka bertugas di lapangan,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Baharin Din berkata penugasan tenaga kerja yang tinggi itu dilakukan dengan mengambil kira tempoh kritikal 72 jam iaitu tiga hari, bermula sehari sebelum 1 Syawal.

Katanya ini berikutan jangkaan peningkatan penggunaan tenaga elektrik oleh orang ramai bagi membuat persiapan akhir menyambut raya.

“Pemantauan di setiap negeri khususnya dalam bidang teknikal turut ditingkatkan menjelang  Syawal dengan jangkaan orang ramai akan pulang lebih awal ke kampung halaman dan mereka yang mengambil peluang untuk melancong sempena cuti umum berkenaan,” katanya.

Sementara itu bagi menghargai sumbangan 9,400 warga kerja yang terlibat, TNB turut menyampaikan kuih raya yang telah disiapkan oleh Persatuan Wanita TNB (Pelitawanis) dari cawangan sekitar Semenanjung Malaysia.

Ia telah diagihkan kepada ketua-ketua bahagian TNB dalam satu majlis yang diadakan di Ibu Pejabat TNB, Bangsar baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here