LABUAN, 16 April – Parti Tindakan Demokratik (DAP) Labuan digesa memberi tumpuan dan usaha menjadi platform dan suara rakyat yang tepat.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Steven Sim berkata ini adalah masa yang tepat kerana DAP adalah sebahagian daripada kerajaan yang memerintah. 

Beliau memberikan tiga cadangan sebagai tanda aras bagi DAP Labuan untuk memberi tumpuan – kuasa untuk kestabilan iaitu menyokong penuh Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi.

Sim berkata kedua, untuk meningkatkan usaha dan perkhidmatan kepada rakyat dan terakhir, menjadi suara rakyat.

“Senario sekarang berbeza kerana DAP kini berada dalam kerajaan dengan DAP mempunyai akses kepada pemimpin DAP yang berada dalam pentadbiran kerajaan dan ini mudah untuk mereka menyuarakan permasalahan rakyat.

“Tetapi kita menerima hakikat itu, walaupun dalam mana-mana platform – sama ada pembangkang atau kerajaan, DAP sentiasa berjuang dan berusaha untuk menyuarakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sim berkata DAP Labuan telah menempuh pelbagai cabaran sejak ia ditubuhkan untuk memainkan peranan dalam isu ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Saya bangga kesetiaan DAP Labuan dengan perjuangan parti, tiada perpecahan sejak penubuhannya  beberapa tahun lalu…12 cawangan yang mereka tubuhkan kekal wujud dan kukuh,” katanya.    

Sim yang juga Timbalan Menteri Kewangan II turut mengumumkan pelantikan peguam Jeremy Wong sebagai pembantu khasnya bagi membantu beliau dalam pelbagai isu berkaitan ekonomi untuk perhatian Kementerian Kewangan.

Wong yang juga Naib Pengerusi DAP Labuan merupakan seorang daripada ahli majlis penasihat Perbadanan Labuan.

DAP Labuan kini diketuai Han Fook Chiew, Koh Chien Chee@Vincent sebagai Timbalan, Chin Khin Fatt sebagai Setiausaha DAP negeri dan Bryan Tan Beng Kang Setiausaha Penganjur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here