PONTIAN, 20 April – Kuota bekalan petrol bersubsidi RON95 dan diesel di seluruh negara akan ditambah bermula esok hingga 5 Mei ini, bagi menampung keperluan pengguna ketika musim perayaan sekali gus memastikan bekalan bahan mentah itu mencukupi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata penambahan itu diberikan kepada 4,030 stesen minyak di seluruh negara dan langkah itu adalah sebagai persediaan mengelakkan kekurangan bahan mentah sebagaimana yang pernah berlaku tahun lepas.

“Sempena cuti Aidilfitri, Wesak dan Hari Pekerja, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ambil tindakan proaktif dah meluluskan kuota tambahan RON95 dan diesel kepada syarikat minyak, jadi kita sudah tengok keperluan musim perayaan ini,” katanya.

Pada Mei tahun lepas, dilaporkan beberapa stesen minyak mengalami masalah kehabisan bekalan petrol akibat berlakunya penjualan luar jangkaan sehingga 50 peratus susulan sambutan Aidilfitri.

Sementara itu, beliau berkata KPDN menerima banyak aduan mengenai peniaga tidak mempamerkan tanda harga ke atas barangan sejak 1 Ramadan lepas, termasuk yang disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri.

Bagaimanapun, Salahuddin berkata pihaknya mengambil pendekatan mesra dengan hanya memberikan nasihat kepada peniaga terlibat dan tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan secara berulang.

“Setakat ini tiada pelanggaran tentang skim harga maksimum cuma KPDN menerima banyak aduan hingga ratusan aduan peniaga tidak letak tanda harga dan apabila saya sendiri buat lawatan mengejut, memang ada peniaga berbuat begitu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan terdapat peniaga di beberapa lokasi menjual ayam segar melebihi harga kawalan iaitu RM9.40 sekilogram, kerana mereka mendakwa menerima bekalan daripada dua hingga tiga lapisan pemborong selain terpaksa meletak caj memotong sebanyak RM1.

“Kita telah merujuk perundangan, apabila mereka (peniaga) mempamerkan harga ayam RM9.40 dan memberitahu mempunyai caj RM1 untuk upah potong, selagi mana pelanggan bersetuju (untuk membayar jumlah itu) ia tidak menjadi kesalahan,” katanya.

Berkenaan Jualan Rahmah Daging Import, Salahuddin berkata sebanyak 90 cawangan Econsave di seluruh negara menawarkan 500 tan daging kerbau import pada harga RM14.90 sekilogram berbanding harga siling RM20 sekilogram yang ditetapkan kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here