MELAKA, 25 April – Lebih 10,000 penganut agama Buddha dan pengunjung bakal memeriahkan sambutan Hari Wesak 2023 akan diadakan di Tokong Seck Kia Eenh, Gajah Berang bermula esok sehingga 4 Mei.

Pengerusi Jawatankuasa Perayaan Hari Wesak negeri, Cedric Tan berkata perayaan Hari Wesak kali ini diadakan semula selepas tiga tahun tidak dianjurkan kerana pandemik COVID-19.

“Lebih menarik kali ini, sebanyak 15 kereta berhias akan berarak pada jarak enam kilometer berbanding hanya dua kereta berhias pada sambutan sebelum ini.

“Seramai 2,400 peserta daripada 15 persatuan agama Buddha lain di Melaka terlibat dan perarakan itu akan melibatkan 11 kawasan, termasuklah Jalan Gajah Berang, Jalan Tun Perak, Jalan Tun Ali, Jalan Tun Mutahir, Lorong Hang Jebat dan Jalan Tengkera,” katanya.

Beliau berkata aktiviti lain yang akan diadakan sepanjang sambutan perayaan tersebut termasuk upacara sembahyang dan pertunjukan tarian singa dari Persatuan Kebudayaan Tarian Singa dan Naga Gao Feng.

Tan berkata upacara Pindacara iaitu memberi makanan kepada Sami juga akan diadakan dan pengunjung boleh menggunakan beras yang disediakan di setiap penjuru jalan ketika menyertai aktiviti ini di samping pengagihan 600 bungkusan makanan kepada golongan miskin tanpa mengira kaum di sekitar bandar Melaka sebagai majlis penutupan sambutan Hari Wesak.

Beliau berkata komuniti Chetti Melaka juga akan hadir ke sambutan Wesak dan bakal membuat persembahan tarian di Tokong Seck Kia Eenh.

“Selepas sambutan Hari Wesak, kita akan mengadakan kempen menderma darah dan kempen penjagaan gigi pada 14 dan 21 Mei. Orang ramai djemput hadir untuk memeriksa kesihatan mereka pada hari itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here