KUALA LUMPUR, 4 Mei – Kerajaan menzahirkan komitmen untuk membaiki kedudukan negara yang kini berada pada peringkat  tiga (Tier 3) dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang (US Tip Report) 2022.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, iltizam untuk memperbaiki perkara yang menjejas imej negara itu disuarakan ketika menerima kunjungan Duta Amerika Syarikat Brian McFeeters di pejabatnya di Putrajaya tengah hari tadi.

“Pertemuan tadi turut membincangkan tentang usaha sama yang boleh dipergiat dalam usaha membendung jenayah rentas sempadan,” katanya.

Menurutnya hubungan Malaysia-Amerika Syarikat telah dijalin berteraskan nilai demokrasi, menghormati hak asasi manusia serta kedaulatan undang-undang terbina sejak 1957 dan diperkukuh melalui hubungan dua hala dalam Perkongsian Komprehensif pada 2014.

Beliau berharap hubungan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat itu akan terus kukuh dan memberi manfaat kepada negara serta rakyat.

Sebelum ini, Malaysia berada pada peringkat dua dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang (US Tip Report) 2017 dan berada di senarai pemantauan peringkat dua dari 2018 sehingga 2020, manakala pada 2021 dan 2022 Malaysia kekal pada peringkat tiga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here