SHAH ALAM, 6 Mei – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menaik taraf Unit Logistik di bawah Bahagian Dasar, kepada Bahagian Logistik bagi memudahkan penyelesaian isu dalam sektor berkenaan secara berkesan.

Menterinya Anthony Loke berkata dengan adanya bahagian baharu itu, beliau berharap ia akan mewujudkan sistem logistik efektif bagi menyokong perkembangan ekonomi Malaysia sebagai sebuah negara dagang.

Namun jelasnya, pewujudan bahagian itu perlu mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) kerana ia akan melibatkan perjawatan baharu.

“Setakat ini, Ketua Setiausaha Kementerian telah mengangkat cadangan itu kepada KPPA (baru-baru ini) dan kita mendapat makluman positif daripada beliau.

“Selepas ini, kertas pertimbangan akan diangkat untuk pertimbangan daripada pihak mereka (KPPA),” katanya.

Loke berkata logistik merupakan satu sektor yang besar merangkumi pelbagai bidang termasuklah penghantaran dan kenderaan berat.

“Jadi dengan adanya bahagian ini, maka semua isu (berbangkit) dapat diangkat melalui penggubalan dasar yang lebih komprehensif,” katanya.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here