KUALA LUMPUR, 1 Nov – Pindaan terhadap Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) (OBS) dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang, menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata Jabatan Peguam Negara sedang meneliti draf Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2023 dan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk mendapat persetujuan sebelum dibawa ke Parlimen.

“Kementerian memperhalusi pindaan kali ini agar ia mengambil kira kepentingan dan kondisi semua pihak meliputi 187,000 majikan yang sedang beroperasi dan kebajikan 2.038 juta pekerja yang bekerja di Sabah.

“Sekiranya ini diluluskan Parlimen, sudah pasti hak-hak dan faedah yang akan dinikmati majikan dan pekerja di Wilayah Sabah adalah setara sebagaimana dinikmati pekerja di Semenanjung,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Mustapha berkata sejak 1965, OBS hanya dipinda sekali iaitu pada 2005 berbanding Akta Kerja 1955 yang dipinda sebanyak 12 kali.

Menurutnya cadangan pindaan turut melibatkan penyelarasan peruntukan di bawah OBS dengan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 yang terpakai serta berkuat kuasa di Semenanjung, bersesuaian dengan pemakaiannya di Sabah.

“Antara 16 perkara dicadang dipinda pula adalah memperkukuh peruntukan berkaitan dengan liabiliti pembayaran gaji, gangguan seksual, larangan diskriminasi, menambah baik peruntukan berkaitan kanak-kanak dan orang muda selain meningkatkan tempoh cuti bersalin dan pemberian cuti paterniti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here