BEIJING, 12 Mei — Jumlah jururawat berdaftar di China direkodkan melepasi angka 5.2 juta setakat hujung tahun lalu, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC).

Dalam satu sidang media pada Khamis, NHC turut memberitahu bahawa jururawat menyumbang lebih separuh daripada keseluruhan petugas perubatan dan kesihatan di China.

“Dalam tempoh sedekad lalu, bilangan jururawat di seluruh negara secara puratanya meningkat sebanyak lapan peratus setahun, dengan tambahan kira-kira 300,000 saban tahun.

“Kelayakan akademik dan keupayaan perkhidmatan profesional mereka juga semakin meningkat,” kata Timbalan Pengarah Jabatan Pentadbiran Perubatan NHC, Xing Ruoqi, dalam sesi taklimat menjelang sambutan Hari Jururawat Sedunia.

Menurut beliau, pendekatan bersepadu akan terus diambil untuk menggalakkan lebih ramai individu menceburi perkhidmatan kejururawatan.

“China menyasarkan jumlah jururawat bertambah kepada 5.5 juta menjelang 2025, antaranya yang bertugas di peringkat akar umbi mencatat 1.2 juta.

“Program latihan akan ditawarkan untuk meningkatkan perkhidmatan kejururawatan klinikal, khususnya kepakaran dari segi geriatrik, pediatrik, penjagaan kritikal dan kecemasan, penyakit berjangkit serta pemulihan,” kata Xing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here