PETALING JAYA, 8 Ogos: Seorang penganalisis industri automotif mengkritik strategi yang menekankan jualan kenderaan jenama Malaysia di pasaran tempatan berbanding pasaran antarabangsa, mengatakan pendekatan itu tidak berbaloi dengan jumlah pelaburan kerajaan untuk membangunkan kenderaan nasional.

Hezeri berkata pendekatan itu hanya menjadikan jenama Malaysia “wira kampung”, menyeru strategi beralih ke arah pasaran antarabangsa seperti syarikat Jepun yang kenderaan dikeluarkannya mendapat permintaan seluruh dunia.

Katanya, jika negara mahu membangunkan industri automotif yang mampan, ia perlu fokus kepada meningkatkan jumlah eksport kenderaan buatan Malaysia.

“Selagi kerajaan masih mahu menggunakan jumlah jualan kenderaan domestik sebagai kayu pengukur (jumlah keseluruhan industri atau TIV), selagi itulah industri ini hanya akan menjadikan kita ‘wira kampung’, selain hanya memenuhi KPI (petunjuk prestasi utama) pegawai kerajaan,” katanya kepada FMT.

Hezeri berkata model perniagaan syarikat Jepun menumpukan usaha mengeksport kenderaan buatannya berbanding pasaran domestik.

“Jualan Toyota di luar Jepun jauh lebih tinggi dari jualan Toyota di dalam Jepun. Malah, China dan Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai jualan domestik kenderaan masing-masing mencecah hampir 10 juta unit setahun, masih giat menghasilkan kenderaan untuk dieksport,” katanya.

Jualan kenderaan domestik di Malaysia antara 500,000 hingga 650,000 unit, jumlah yang kecil berbanding negara Asean lain.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Industri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam sidang Dewan Rakyat pada Rabu mengakui dasar kerajaan berhubung industri automotif, khususnya layanan istimewa kepada Proton, merupakan penghalang kepada pembangunan industri itu.

Beliau berkata dasar itu perlu dikaji semula, mengatakan layanan istimewa itu menyebabkan pemain besar industri beralih ke negara jiran.

Hezeri bagaimanapun menyangkal kenyataan Wan Junaidi, menjelaskan pengeluar jenama antarabangsa masih mengeksport produk dari Malaysia ke rantau Asean.

“Tidak begitu tepat jika mahu katakan bahawa Dasar Automotif Negara menyebabkan pengeluar kenderaan antarabangsa mengalihkan operasi mereka dari Malaysia.

“Malah, tidak ada pun syarikat yang mengalihkan operasi mereka dari Malaysia.

“Honda, Toyota, Mazda, Nissan, BMW, Mercedes Benz, Volvo, Peugeot, Kia, Hyundai, Renault, Subaru, Haval dan beberapa lagi jenama masih melakukan proses pemasangan tempatan (CKD) mereka di Malaysia,” katanya.

Berhubung keistimewaan kepada Proton, Hezeri berkata, semasa ia diperkenalkan, kerajaan ketika itu menaikkan cukai untuk kenderaan lain agar jenama tempatan mampu bersaing.

Namun begitu, beliau berpendapat, semakin lama semakin sukar untuk mengawal kemasukan produk luar kerana perjanjian perdagangan dengan negara pelbagai negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here