KUALA LUMPUR, 14 Mei – Penyertaan UMNO dalam pembentukkan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukanlah ‘kahwin paksa’ sebagaimana dakwaan segelintir pihak, kata Ketua Pergerakan Pemudanya Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau berkata walaupun ada antara parti yang membentuk kerajaan hari ini tidak pernah menjalin kerjasama, atau tidak punyai ‘chemistry’ sebelum ini, namun ia bukan alasan untuk tidak mewujudkan persamaan dan kesamarataan demi negara.

“Ada orang kata kita ini kahwin paksa, tetapi ibu ayah kita, atuk nenek kita dulu mereka kahwin pun tak kenal sesama sendiri, kalau duduk bercinta 10 tahun tapi tahun pertama kahwin lelaki curang buat apa.

“Kalau kita nak kekal dalam Kerajaan Perpaduan mesti mempunyai tiga perkara iaitu yang pertama kena saling menghormati satu sama lain, memahami antara satu sama lain dan mempercayai antara satu  sama lain,” katanya.

Beliau turut menyeru agar sayap-sayap parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan menolak segala perbezaan dan mencari titik persamaan agar kestabilan politik negara terus terjamin. 

Dalam sesi yang sama,  Ketua Angkatan Muda Harapan Dr Kelvin Yii Lee Wuen pula berkata setiap perbezaan seharusnya dilihat sebagai kekuatan dan bukannya sebagai halangan untuk membina perpaduan dalam masyarakat di negara ini. 

“Bagi saya dalam setiap perjuangan, dalam setiap gerak kerja yang kita lakukan asasnya adalah perpaduan, tanpa perpaduan kita tidak ada kestabilan, tanpa kestabilan kita takkan ada perkembangan, tanpa perkembangan kita tiada transformasi dan tanpa transformasi kita tiada kesejahteraan. 

“…saya berdiri di sini bersama pemimpin (parti politik yang lain) untuk membina semula negara tercinta ini atas dasar dan prinsip hormat dan ihsan terhadap semua kaum, agama dan bangsa dan semua latar belakang inilah asas pembentukan negara tercinta Malaysia,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here