KUALA LUMPUR, 19 Mei – Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan Republik China (NPC) ke-14 Zhao Leji memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia dengan mengadakan pertemuan dua hala bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul di Parlimen hari ini.

Zhao dan delegasi tiba di bangunan Parlimen kira-kira 10.30 pagi dengan diiringi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat  Alice Lau Kiong Yieng sebelum disambut Johari di Dewan Rakyat.

Selain Lau, pertemuan kira-kira sejam itu turut disertai Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun dan Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse.

Bercakap kepada pemberita, Johari berkata antara isu yang dibangkitkan pada pertemuan beliau dengan Zhao ialah perdagangan dua hala dan komitmen China dalam kerjasama perkongsian teknologi pertanian melalui pelajar Malaysia yang menuntut di universiti di negara itu.

“Sekuriti makanan amat penting dan menjadi hasrat kita untuk tidak terjebak lagi dalam masalah yang kita lalui apabila berlaku krisis di Eropah, tiba-tiba kita di Asia juga menghadapi masalah.

“Jadi kalau ada kerjasama dengan China dan negara ASEAN, kita mempunyai bukan sahaja teknologi tetapi juga ada buruh dan duit untuk memperkukuh hubungan kita sebagai orang Asia yang tidak bergantung kepada Eropah untuk makanan,” katanya.

Menurut Johari, tahun depan merupakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia dan akan mengambil peluang berkenaan untuk meningkatkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara seperti menerusi program pertukaran pelajar dan komuniti perniagaan.

Dalam rangka lawatan rasmi, Zhao dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut dijadual ke Melaka sebagai sebahagian daripada lawatan termasuk mengunjungi Jonker Walk, Muzium Warisan Baba Nyonya dan Selat Melaka sebelum berlepas pulang ke Beijing pada Sabtu ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here