KUALA LUMPUR, 24 April – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan hari ini daripada RM144.7 bilion pelaburan digital yang diluluskan antara 2021 dan 2023, sebanyak RM114.7 bilion adalah dalam pusat data yang telah mewujudkan 39,231 peluang pekerjaan.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pada 2021 pelaburan dilulus dalam pusat data berjumlah RM3.4 billion, RM80.8 bilion pada 2022 dan RM60.5 bilion tahun lepas daripada pelbagai organisasi termasuk Amazon, GDS, YTL dan ByteDance. 

Meskipun pelaburan diluluskan penting untuk membina momentum, beliau berkata, MITI juga memberikan tumpuan utama kepada pelaburan yang direalisasikan. 

Tengku Zafrul berkata dari 2021 hingga Februari 2023, terdapat 2,386 projek pembuatan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan manakala daripada 1,802 atau 75.5 peratus projek yang dilaksanakan, 1,597 projek berada di peringkat permulaan dan 205 sedang membina bangunan atau kemudahan pembuatan mereka.

Daripada projek yang diluluskan, 551 (23.1 peratus) dalam peringkat perancangan, manakala 33 atau 1.4 peratus tidak dilaksanakan berikutan perubahan dalam strategi syarikat masing-masing, katanya dalam sidang media bagi mengumumkan kad laporan suku pertama MITI, di sini, hari ini.

MITI, katanya, akan terus menumpukan kepada pelaburan langsung asing dan juga domestik.

Mengenai prestasi Pejabat Pelaksanaan dan Pemudahcaraan Projek (TRACK), beliau berkata sebanyak 802 kes telah dibantu sejak penubuhannya dengan isu utama berkaitan kastam, bekalan elektrik, pusat sehenti – majlis tempatan dan imigresen.

Mengenai prospek perdagangan, Tengku Zafrul berkata perdagangan negara dijangka bertambah baik pada 2024 tetapi cabaran masih kekal di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here