KUALA LUMPUR, 23 Mei – Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini. 

Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023 yang bertujuan untuk meminda Akta Insolvensi 1967 dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Rang Undang-Undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023 pula yang bertujuan mengesahkan pemungutan fi berkenaan dengan apa-apa pembekalan program televisyen oleh Jabatan Penyiaran Malaysia semasa tempoh mulai 15 Mac 2001 hingga 28 Feb 2022 dibentangkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Azalina dan Fahmi memaklumkan bacaan kali kedua bagi kedua-dua rang undang-undang tersebut akan dibuat pada mesyuarat ini.

Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023 adalah untuk memperuntukkan bagi pentadbiran estet bankrap yang lebih efektif di Malaysia dan bagi melepaskan bankrap dalam tempoh masa singkat bagi sumbangan yang lebih baik kepada pembangunan ekonomi negara.

Menurut rang undang-undang itu, ia antara lain untuk memperkukuh peruntukan yang berhubungan dengan pelepasan automatik, mengetepikan keperluan mandatori mengadakan mesyuarat pertama pemiutang serta memasukkan penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh dalam pentadbiran kebankrapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here