PORT DICKSON, 23 Mei – Hasrat seorang nenek mahu melihat cucunya berusia lapan tahun bersekolah tercapai, setelah kanak-kanak yatim piatu itu menerima sijil kelahiran bukan warganegara daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini.

Sabariah Ahmad, 69, berkata cucunya, Muhammad Yusri merupakan anak kepada anaknya Osman Jaafar bersama warga Indonesia Wulandari Gustialam, namun pernikahan pasangan itu tidak didaftarkan mengikut undang-undang Malaysia.

Katanya, hal itu menyukarkan pendaftaran sijil kelahiran Muhammad Yusri dan tindakan proaktif Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini amat memudahkan urusannya, sekali gus memastikan masa depan cucunya itu terjamin.

“Terima kasih JPN kerana menguruskan permohonan ini, pengurusan permohonan sijil kelahiran ini juga cepat kerana kerjasama semua pihak. Saya cuma mahu Yusri dapat bersekolah demi masa depannya…” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini hari ini.

Sabariah berkata Osman meninggal dunia pada 21 Mac lepas dan dua minggu sebelum itu, beliau sudah mengisi borang pendaftaran Muhammad Yusri namun tidak sempat dihantar ke JPN.

Katanya Osman meninggal dunia akibat serangan jantung manakala Wulandari yang menghidap penyakit buah pinggang meninggal dunia tahun lepas.

Nenek kepada 12 cucu itu telah mendapatkan khidmat guru tuisyen bagi memastikan Muhammad Yusri mendapat pendidikan.

Sementara itu Zamri berkata Muhammad Yusri tidak bersekolah kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri dan kelahirannya juga tidak didaftarkan.

Beliau berkata semakan JPN mendapati kanak-kanak itu dilahirkan di rumah dan dibesarkan di Puchong, Selangor namun pernikahan ibu bapanya tidak didaftarkan mengikut undang-undang Malaysia.

“JPN bertindak menghubungi waris Allahyarham bapa kepada Muhammad Yusri untuk membantu mendaftarkan kelahiran, hasil temu duga saksi berkenaan, Panel Jawatankuasa Permohonan Daftar Lewat Kelahiran JPN telah meluluskan permohonan itu,” katanya.

Zamri menasihatkan keluarga Muhammad Yusri supaya menguruskan proses pengambilan anak angkat terlebih dahulu sebelum memohon kewarganegaraan Malaysia untuk anak yatim itu. 

Beliau memaklumkan JPN telah meluluskan sebanyak 10,245 daripada 14,557 permohonan Daftar Lewat Kelahiran bagi tempoh tahun 2022 hingga April ini.

Zamri turut menasihatkan orang awam supaya mendaftarkan setiap kelahiran pada tempoh ditetapkan dan perkahwinan yang tidak mengikut undang-undang juga perlu didaftarkan semula di dalam negara bagi memastikan perkahwinan diiktiraf.

Katanya kegagalan mendaftar perkahwinan akan menimbulkan isu ketika proses pendaftaran kelahiran anak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here