KUALA LUMPUR, 23 Mei – RJ Nagarajan membuktikan dengan semangat yang kental  rakyat Malaysia mampu  mencipta kejayaan apabila beliau menjadi rakyat kedua negara ini yang berjaya mendaki kesemua tujuh puncak tertinggi di kesemua tujuh benua selepas berjaya menawan puncak Gunung Everest. 

Menurut pengasas ZEROTO8000 Mohd Khafiz Bachok, Nagarajan, 59 yang lebih mesra dipanggil RJ atau Rajan berjaya menawan puncak Gunung Everest pada 10.30 pagi waktu tempatan atau (12.45 tengah hari) waktu Malaysia hari ini. 

“Tahniah buat seorang lagi anak Malaysia, RJ Nagarajan, 59 tahun, yang berjaya mendaki puncak tertinggi dunia Gunung Everest pada ketinggian 8,850 meter dari aras laut tepat jam 10.30 pagi ini sekali gus menjadi rakyat Malaysia kedua berjaya mendaki semua tujuh puncak tertinggi di tujuh benua versi Reinhold Messner dan pendaki keempat di Malaysia yang di kenali sebagai “World 7 Summit”.

“World 7 Summit merupakan antara pencapaian tertinggi di dunia dalam dunia pendakian” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut Mohd Khafiz sebelum ini Nagarajan, telah berjaya mendaki Gunung Aconcagua di Argentina pada ketinggian 6,961 meter (m) iaitu puncak tertinggi di benua Amerika Selatan, Gunung Denali di Amerika Syarikat (6,194m) puncak tertinggi di Amerika Utara, Gunung Kilimanjaro di Tanzania (5,895m) tertinggi di  Afrika, Gunung Elbrus di Rusia (5,642m)  tertinggi di benua Eropah, Gunung Vinson (4,892m)  tertinggi di  Antartika dan Gunung Kosciuszko di Australia (2,228m)  tertinggi di benua Australia.

Terkini Gunung Everest di Nepal pada ketinggian 8,848m yang merupakan puncak tertinggi di benua Asia dan dunia pada pagi ini, katanya.

Tambah beliau Nagarajan juga telah melengkapkan dua lagi gunung iaitu Gunung Mont Blanc, di Perancis pada ketinggian 4,810m dan Puncak Jaya di Irian Jaya  (4,884m) yang masing-masing mempunyai versi berbeza untuk benua Eropah dan Australia. Beliau mengambil masa tujuh tahun sejak 2016 untuk melengkapkan semua pendakian tersebut.

Kata Mohd Khafiz sebelum ini Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin telah menjadi rakyat Malaysia pertama menamatkan Pendakian 7 Summits versi Reinhold Messner (Carsten Pyramid) iaitu (Pendakian ke tujuh puncak tertinggi di tujuh benua) dan dua lagi pendaki iaitu Ahmad Reduan Rozali dan Fakri Abdul Samah telah berjaya mendaki ke tujuh puncak di tujuh benua versi Richard Bass (Kosciousko).

Menurut Nagarajan yang juga merupakan seorang pendaki daripada pasukan ZEROTO8000, pendakian beliau adalah untuk menyampaikan mesej semangat Malaysia berdikari dalam mengejar impian dan mencipta kejayaan.

Setiap rakyat Malaysia harus berusaha berdikari dalam mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang, katanya. 

Menurutnya beliau sendiri melakukan semua pendakian dengan bekerja keras mengumpul dana sendiri dan kini terbukti beliau telah berjaya dan semangat inilah yang sedang diterapkan dalam minda rakyat Malaysia oleh ZEROTO8000, bukan hanya dalam aktiviti pendakian, tetapi dalam apa jua impian yang dimiliki oleh mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here