KUALA LUMPUR, 9 Jun — UMNO memikul amanah besar dalam memastikan kejayaan pembentukan kerajaan negeri yang seiring dengan kerajaan Persekutuan pada masa ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan pada PRN berkenaan penting dalam mengukuhkan agenda Islam dan Melayu yang didukung oleh Putrajaya selain bagi membawa perubahan besar terutamanya melibatkan pembangunan asas di negeri-negeri terlibat.

“UMNO berhadapan dengan negeri-negeri yang dikategorikan sebagai Jalur Melayu iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu… menjadi tanggungjawab kita untuk membawa umat Melayu dan rakyat di negeri-negeri berkenaan menjadi sebahagian daripada Kerajaan MADANI yang benar-benar mencerminkan wajah Malaysia.

“Gunakanlah peluang PRN ini untuk kita memastikan semua negeri ini membentuk kerajaan yang seiring dengan Persekutuan. Insya-Allah, kita akan mampu membawa negeri-negeri berkenaan, melakukan perubahan dan hidup rakyatnya penuh dengan kesejahteraan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan presiden-presiden parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid berkata UMNO tidak mahu melihat negeri-negeri berkenaan diheret ke kancah fahaman politik yang memisahkan rakyatnya, daripada hakikat laman politik tanah air.

“Banyak agenda pembangunan asas, terutama di Kedah dan Kelantan, memerlukan perubahan-perubahan besar. Islam itu bersih. Bersih di luar dan di dalam. Untuk bersih, Islam memerlukan air bersih. Soal keperluan air bersih umpamanya di Kelantan, seolah-olah jalan penyelesaiannya tidak kunjung tiba.

“Tiga puluh tiga tahun menjadi pemerintah di negeri dan wakil mereka pernah menjadi Menteri yang menjaga air, air karat masih gagal ‘dijernihkan’…Oleh yang demikian, sudah tiba masanya, anak-anak Kelantan, Kedah dan Terengganu di perantauan, fikirkanlah nasib ibu ayah yang tinggal di negeri-negeri berkenaan,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, Kerajaan Perpaduan akan mampu membawa perubahan di negeri-negeri terbabit seterusnya memastikan kesejahteraan hidup rakyatnya.

Enam negeri yang akan berhadapan dengan PRN tidak lama lagi ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here