KUALA LUMPUR, 15 Jun – Cyberview Sdn Bhd, pembangun hab teknologi membuka permohonan untuk program Cyberview Living Lab Accelerator (CLLA), salah satu program pemecut yang paling lama di negara ini.

Ketua Bahagian Pembangunan Hab Teknologinya, Shafinaz Salim berkata program itu menggariskan komitmen Cyberview untuk menyediakan ekosistem yang membolehkan penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan, khususnya untuk mengukuhkan dan memperkasakan syarikat pemula niaga.

“Menerusi program CLLA, Cyberview telah memberi tumpuan khusus kepada penyelesaian bandar pintar merentas tiga tonggak bandar pintar Cyberjaya iaitu ekonomi pintar, persekitaran pintar dan masyarakat pintar.

“Kami berbangga kerana telah menyokong syarikat pemula niaga yang menginovasikan pelbagai penyelesaian dalam bidang fintech, robotik, blockchain, teknologi kesihatan, teknologi hartanah, teknologi pendidikan dan mobiliti,” katanya.

Shafinaz berkata program CLLA berfungsi sebagai landasan bagi melancarkan syarikat pemula niaga mempercepatkan pertumbuhannya, membawa idea dan penyelesaian kepada kehidupan serta membolehkan syarikat pemula niaga menguji, merintis dan mengesahkan penyelesaian sebelum dikomersialkan.

Sejak pelancarannya pada 2013, Cyberview telah melabur lebih RM6 juta ke dalam syarikat pemula niaga, memastikan penyelesaian yang berdaya maju disokong secukupnya ke arah pengkomersialan dengan lebih RM252 juta jumlah pelaburan yang diperoleh dan lebih RM775 juta hasil terkumpul yang direkodkan.

Ia juga telah menyokong 90 syarikat pemula niaga yang mana program itu secara kolektif telah memberi kesan kepada ekonomi melalui penciptaan lebih daripada 1,400 peluang pekerjaan, dan antara alumni program yang berjaya ialah TheLorry, platform logistik tanah; Billplz, platform pembayaran untuk organisasi; dan Pandai, aplikasi ulang kaji pintar.

Beliau berkata program itu sedang mencari aplikasi daripada syarikat pemula niaga yang mencari ekosistem untuk membantu memulakan dan meningkatkan penyelesaian inovatif mereka dan Cyberview juga sedang mencari syarikat pemula niaga dalam bidang penyelesaian kehidupan pintar, pendigitalan dan penyelesaian data, perindustrian. Internet Pelbagai Benda (IoT), robotik dan teknologi hijau.

Dalam program intensif lima bulan itu, Cyberview akan menawarkan tempat kepada syarikat pemula niaga terpilih di Colnnov8, iaitu ruang pejabat bersama bandar pintar kolaboratif Cyberview, sumber, kemudahan, khidmat nasihat dan bimbingan perniagaan, rangkaian serta peluang akses pasaran yang dinilai secara kumulatif lebih daripada RM100,000 untuk setiap pemula niaga yang mengambil bahagian.

Selepas tamatnya program CLLA, syarikat pemula niaga juga akan mendapat akses kepada peluang perintis, melaksanakan strategi masuk ke pasaran dengan segera atau mula mendapatkan sumber pembiayaan tambahan daripada pelabur tempatan, serantau atau global, yang dibantu selanjutnya oleh Cyberview.

“Dengan konsep Malaysia Madani yang mana kerajaan sentiasa mendorong kepada inovasi dan kreativiti, syarikat pemula niaga teknologi pastinya mempunyai peranan yang lebih besar dalam memajukan negara.

“Pada akhirnya, program CLLA, yang memfokuskan kepada pemupukan syarikat pemula niaga, adalah sejajar dengan agenda nasional untuk mengembangkan ekonomi Malaysia melalui teknologi,” tambah Shafinaz.

Beliau berkata selain daripada bimbingan dan strategi perniagaan yang dinamik dan mampan, syarikat pemula niaga akan mendapat akses kepada rangkaian pelabur, agensi kerajaan, syarikat dan rakan kongsi ekosistem Cyberview untuk perkongsian strategik dan kerjasama.

Permohonan untuk menyertai program CLLA dibuka sehingga 30 Jun, 2023. Syarikat pemula niaga  yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang cara mendaftar boleh melayari https://www.cyberview.com.my/business/cyberview-living-lab/#Living-Lab-Acelerator.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here