ALOR GAJAH, 18 Jun – Sebanyak 500 anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijangka menyertai Volunteer Melaka yang ditubuhkan kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sukarelawan berkenaan akan diberi latihan dan kursus berkaitan industri pelancongan selain sejarah serta fakta menarik di kawasan tumpuan pelancongan bagi membantu pelancong mendapatkan maklumat tepat di sesuatu kawasan mereka kunjungi.

“Sukarelawan ini sekali gus akan menjadi duta pelancongan selain menyemai semangat keMelakaan dalam diri mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri juga akan mewartakan sebuah kawasan strategik yang sedang dikenal pasti di sepanjang Sungai Melaka untuk dijadikan sebagai laman budaya.

Beliau berkata laman budaya berkenaan akan memaparkan kepelbagaian budaya dan kesenian yang terdapat di Melaka membabitkan masyarakat Melayu, Baba dan Nyonya, Portugis dan Chettiar.

Menurut Ab Rauf sempena TMM2024, kerajaan negeri juga akan memilih satu hari bagi memberi peluang kepada pelancong untuk menaiki perkhidmatan ‘river cruise’ secara percuma, selain sedang memuktamadkan perbincangan dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mempamerkan KD Hang Tuah di negeri itu.

“Kita juga merancang untuk mengadakan pertandingan layang-layang gergasi dunia serta aktiviti menaiki belon udara panas di Dataran 1Malaysia Klebang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here