KUALA LUMPUR, 19 Jun – Mengurangkan kadar duti setem bagi saham yang didagangkan di Bursa Malaysia Securities, menggalakkan usaha niaga korporat dan memudahkan proses penyenaraian adalah antara langkah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha untuk meningkatkan pasaran modal serta mencipta lebih banyak kekayaan untuk rakyat.

Dalam jangka masa terdekat, kadar duti setem bagi saham yang didagangkan di Bursa Malaysia Securities akan dikurangkan kepada 0.10 peratus nilai kontrak berkuat kuasa Julai daripada 0.15 peratus pada masa ini, tertakluk kepada had maksimum RM1,000 setiap kontrak.

“Ini akan meluaskan pilihan pelaburan mengikut kemampuan rakyat, ditambah pula dengan hasrat untuk menggalakkan lagi minat pelabur dalam pasaran kita,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perubahan ini secara langsung akan mengurangkan kos urus niaga atau transaksi sekuriti dan menjadikan pasaran saham Malaysia lebih kompetitif.

“Saya yakin langkah ini akan merangsang pasaran dan meningkatkan daya tarikannya,” katanya.

Perdana Menteri berkata peningkatan dalam mudah tunai pasaran akan menarik lebih banyak dana domestik dan asing ke dalam pasaran saham Malaysia, sekali gus menggalakkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk meneruskan dengan tawaran awam permulaan (IPO) serta memudahkan syarikat tersenarai awam mengumpul dana bagi mengembangkan perniagaan mereka dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Perluaskan kumpulan pelabur, pembaharuan struktur untuk rancakkan penyenaraian

Untuk menarik kumpulan pelabur yang lebih besar menyokong permbiayaan PKS dan ekonomi baharu, Kementerian Kewangan (MoF) dan SC akan melihat dasar untuk memudahkan serta menarik penubuhan pejabat keluarga di Malaysia.

Ia juga akan meninjau cara untuk mempromosikan usaha penerokaan korporat bagi memacu pelaburan langsung domestik (DDI) yang lebih besar melalui dasar cukai dan insentif yang lebih memudahkan termasuk membolehkan kerugian cukai daripada penerokaan korporat digunakan oleh syarikat induk untuk memulakan pelaburan mampan lain dalam kumpulan.

Selain itu, MOF dan SC juga akan berusaha untuk meluaskan definisi pelabur sofistikated dengan melibatkan sekali angel investors, modal teroka dan ekuiti persendirian.

“Saya akui pasaran jangka panjang dan pembaharuan struktur akan diperlukan untuk pasaran modal Malaysia dan transformasi ekonomi,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai permulaan bagi menggalakkan lebih banyak syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia, SC dan Bursa Malaysia akan melaksanakan pembaharuan tahun ini untuk memudahkan dan mempercepatkan penyenaraian di bursa dengan mempercepatkan proses IPO  serta memendekkan masa ke pasaran bagi memastikan daya saing dan daya tarikan Malaysia, kata Perdana Menteri.

Anwar menambah semua langkah untuk membolehkan tahap kerancakan pasaran yang lebih tinggi serta melonjakkan daya tarikan pasaran modal Malaysia telah diusahakan oleh Kementerian Kewangan bersama SC, dengan maklum balas daripada Bursa Malaysia dan industri pasaran modal.

Menurutnya, ini berdasarkan tiga tonggak untuk membolehkan tahap kerancakan pasaran yang lebih tinggi dan meningkatkan daya tarikan pasaran modal Malaysia – iaitu meluaskan peluang pelaburan dan penciptaan kekayaan untuk rakyat, menarik kumpulan pelabur yang lebih besar untuk menyokong pembiayaan PKS dan ekonomi baharu serta melaksanakan pembaharuan pasaran dan struktur bagi memulihkan keyakinan terhadap kedinamikan dan daya saing Malaysia.

“Sebarang pembaharuan memerlukan disiplin dan kesabaran. Ia juga memerlukan keyakinan dan keberanian untuk melakukan perkara baharu dan membuat keputusan sukar demi kepentingan rakyat dan negara,” kata Perdana Menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here