SHAH ALAM, 23 Jun – Polis menahan seorang lelaki tempatan semalam kerana memperdaya dua wanita warga emas dengan menawarkan bantuan kewangan yang tidak wujud. 

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 70 tahun dari Kampung Asahan, Kuala Selangor yang mendakwa beliau didatangi suspek lelaki yang menaiki kereta dan memperkenalkan dirinya sebagai wakil pemberi bantuan daripada “Tengku Zafrul”. 

Katanya, mangsa bersama jirannya berumur 72 tahun diperdaya untuk menaiki kereta suspek bagi mengambil kupon pendaftaran di balai raya, namun kedua-dua warga emas itu telah dibawa ke pekan Bestari Jaya dan diminta menyerahkan barang kemas mereka untuk ditukarkan kepada wang tunai. 

“Mangsa kemudian diminta untuk menunggu di kedai makan. Setelah menunggu beberapa jam, mangsa dan jirannya mendapati kereta lelaki tersebut telah tiada dan mengesyaki mereka telah ditipu dengan jumlah kerugian lebih kurang RM8,100,” katanya. 

Bertindak atas maklumat, suspek yang berumur lingkungan 30-an itu berjaya ditahan petang semalam dan turut dirampas sebuah kereta, dua utas gelang tangan, tiga bentuk cincin serta sekeping resit pajak gadai.

 Lelaki itu kini direman hingga 25 Jun dan hasil siasatan lanjut mendapati terdapat tiga laporan polis yang dibuat berkaitan modus operandi sama dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here