GEORGE TOWN, 27 Jun – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menyasarkan untuk menang antara 30 ke 32 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata sekiranya gabungan itu memenangi antara 30 ke 32 kerusi dalam PRN itu, ia boleh dianggap sebagai satu keputusan yang memuaskan.

“Sebelum ini saya ada katakan bahawa jika kita boleh kekalkan apa yang kita capai pada pilihan raya 2008 dan 2013 iaitu (masing-masing) 29 dan 30 kerusi pada masa itu. Kali ini kalau dapat 30 hingga 32 kerusi boleh dikira hasil yang memuaskan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Chow berkata beliau akan menemui Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak esok, untuk mendapatkan persetujuan bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 28 Jun.

“Saya telah menerima tarikh dari pejabat Yang di-Pertua Negeri dan dijadualkannya pada esok pada 8 pagi. Selepas itu kami akan adakan sidang media kira-kira 2.30 petang di Komtar, yang akan dihadiri oleh kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PH menang 37, termasuk dua oleh calon Bersatu, manakala BN menang dua, dan PAS, satu.

Pulau Pinang akan menghadapi PRN tidak lama lagi, bersama-sama dengan Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here