SEPANG, 27 Jun – Syarikat penerbangan tambang rendah terbaharu Malaysia, MYAirline Sdn Bhd bakal melebarkan sayapnya ke laluan antarabangsa menerusi penerbangan pertamanya ke Bangkok, Thailand pada Rabu ini (28 Jun). 

Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline Rayner Teo berkata syarikat penerbangan itu akan beroperasi di dua lapangan terbang di Bangkok, dengan operasi di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 28 Jun dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang menjelang 1 Julai. 

“Kami adalah syarikat penerbangan Malaysia pertama yang sebenarnya beroperasi di dua lapangan terbang berbeza di Bangkok. 

“Kami akan bermula dengan satu penerbangan sehari dan secara berperingkat kepada empat penerbangan sehari,” katanya.

Sejak penerbangan sulungnya pada 1 Dis tahun lepas, MYAirline telah menghubungkan Kuala Lumpur dengan pelbagai destinasi popular seperti Kota Kinabalu, Kuching, Kota Bharu, Langkawi, Pulau Pinang, Sibu, Tawau dan Miri. 

MYAirline menerima sijil kelayakan udara hari ini untuk pesawat kelapannya yang akan digunakan bagi laluan Bangkok.

Pada masa ini, MYAirline beroperasi dengan tujuh pesawat dengan purata 91 peratus faktor beban.  MYAirline telah merancang untuk memperluaskan rangkaian penerbangan di bahagian lain di Thailand,seperti Phuket, Krabi serta Chiang Mai selain merancang untuk terbang ke Indonesia, terutamanya ke Bali, Jakarta, Vietnam dan Singapura.

Beliau ketika mengulas mengenai perancangan masa depan berkata MYAirline merancang untuk menubuhkan hab keduanya sama ada di Kota Kinabalu, Sabah atau Kuching, Sarawak. 

“Sebagai mana-mana syarikat penerbangan, kami sedang meneliti pelbagai operasi hab. Jadi, kami mempunyai yang utama di sini (KLIA) dan sebelum akhir tahun, kami menyasarkan mempunyai hab kedua kami… mungkin Sabah atau Sarawak tetapi yang pasti, realistik untuk mempunyai satu hab di setiap negeri,” katanya. 

Sementara itu, dalam satu kenyataan, MYAirline berkata pencapaian satu juta penumpang itu diraih dalam tempoh kurang enam bulan operasi di sembilan laluan domestik di Malaysia.

Momen bersejarah tersebut diraikan apabila penumpang penerbangan Z98104 dari Kuching tiba di Terminal 2 KLIA pada 3 petang tadi. 

Sepuluh penumpang bertuah juga menerima tiket penerbangan pergi balik ke destinasi utama di Malaysia yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan itu. 

Teo berkata MYAirline kekal komited bagi menyediakan perkhidmatan serta pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana ia terus berkembang dan berkhidmat kepada komuniti MYAirline. 

“Pencapaian ini membuktikan dedikasinya untuk menjadi syarikat penerbangan paling dipercayai di Malaysia, kerana yakin bahawa pengalaman penumpang adalah yang paling utama,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here