TIANJIN, 28 Jun – Perdana Menteri China, Li Qiang menghadiri dan menyampaikan ucaptama dalam upacara perasmian Forum Davos Musim Panas 2023 yang berlangsung di bandar Tianjin, China pada Selasa.

Beliau menyeru semua pihak supaya lebih menghargai komunikasi dan interaksi, solidariti dan kolaborasi, keterbukaan dan perkongsian serta kedamaian dan kestabilan.

Li menyarankan sinergi diwujudkan untuk melaksanakan Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI) dengan berpandukan gagasan komuniti berkongsi nasib sesama insan yang dikemukakan Presiden Xi Jinping, demi membina dunia yang lebih indah.

Beliau berkata China tetap pemacu utama kepada pertumbuhan mampan ekonomi dunia dalam tempoh sedekad lalu.

China akan terus menyediakan momentum kuat kepada rejuvenasi dan pertumbuhan ekonomi global pada masa hadapan.

Beliau turut meluahkan hasrat China bersama usahawan pelbagai negara untuk mendukung globalisasi ekonomi, mengekalkan ekonomi pasaran, menyokong perdagangan bebas dan menggerakkan ekonomi dunia ke arah lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan.

Li kemudian menghadiri Dialog Usahawan Sejagat Forum Ekonomi Dunia pada petang Selasa.

Beliau berharap ahli perniagaan dapat memperincikan jadual kunjungan di China dan bertindak mengenali China dari tiga dimensi.

“China bukan sahaja menumpu kepada pembangunan domestik malahan juga aktif berkongsi peluang pembangunan dengan pelbagai pihak lain.

“China akan meningkatkan penyelarasan dengan peraturan ekonomi serta perdagangan antarabangsa yang berspesifikasi tinggi dan tahap keterbukaan dari segi sistem, manakala mempercepat langkah dalam membina iklim perniagaan yang berorientasikan pasaran dan bertaraf dunia, serta memartabatkan penguatkuasaan undang-undang yang dilihat kondusif bagi perkembangan syarikat yang pelbagai ke arah yang lebih baik,” katanya.

Li menambah bahawa China bersedia bersama-sama dengan pelbagai pihak untuk mendorong perkembangan sains canggih dan meneroka bidang kerjasama baharu.

Beliau juga telah menjawab soalan para usahawan mengenai perincian dalam kerjasama antara jabatan pemantau dengan sektor korporat, pengurusan data dan menyahut cabaran akibat perubahan iklim.

Menurut wakil usahawan, China adalah pasaran yang paling dinamik dan tetap berpotensi besar dalam pertumbuhan pada masa depan dan mereka menyokong peningkatan kerjasama dengan China, mengekalkan pelaksanaan strategi “di China, demi China”.

Para usahawan turut menyuarakan kesediaan untuk mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi China ke arah yang berkualiti tinggi, memperhalusi kerjasama rantaian industri dan bekalan dalam senario global, sinergi menyahut cabaran global seperti perubahan iklim dan memupuk perkongsian yang saling menguntungkan dan sama menang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here