SEPANG, 28 Jun – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. 

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu berkata beliau akan memberikan sokongan aktif terhadap mana-mana gerakan untuk memperkukuh orang Melayu sempena PRN itu. 

“Saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya, dan objektif saya bukan untuk menjadi perdana menteri lagi,” kata beliau.

Enam negeri akan mengadakan PRN iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan Selangor sudah dibubarkan masing-masing pada 22 Jun dan 23 Jun lepas, Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang dibubarkan hari ini manakala DUN Negeri Sembilan akan dibubar pada 1 Julai.

Mengulas hasrat Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas perdana menteri untuk berjumpa dengannya, Dr Mahathir berkata pertemuan hanya boleh dilakukan selepas Hari Raya Aidiladha yang akan disambut esok. 

Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata akan bertemu Dr Mahathir dalam masa terdekat untuk membincangkan kerjasama menerusi Proklamasi Orang Melayu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here