BANTING, 2 Julai – Perbincangan berkaitan agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor sudah selesai, kata Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Menteri Besar Selangor itu berkata selebihnya beliau serahkan kepada Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berbincang.

“Dah selesai Selangor bincang, selesai bagi kami tapi yang di pusat itu (bagi) mereka bincang.(Selebihnya), anda tanya PM (Perdana Menteri Anwar) dan TPM (Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid) kerana (keputusan) sekarang di tangan mereka,” katanya.

Pada minggu lepas, beliau memaklumkan rundingan agihan kerusi antara PH dan BN bagi PRN Selangor dijangka selesai selepas sambutan perayaan Aidiladha.

Mengulas mengenai program hari ini, Amirudin berkata taman tema air yang dilengkapi dengan pembangunan dan kawasan komersial itu merupakan tarikan terbaharu di selatan Selangor.

“Ini adalah kesinambungan yang kita mahu di selatan Selangor dan permulaan baik untuk pembangunan, yang sekali gus mampu memberi lonjakan ekonomi, penambahan pendapatan, peluang pekerjaan dan pelaburan kepada negeri.

“Saya yakin bahawa Selangor akan terus kekal sebagai satu daripada destinasi pelancongan paling popular di negara ini dan terus meningkatkan hasil negeri daripada pelancongan,” katanya.

Taman Tema Air SplashMania berkeluasan 6.47 hektar yang dibina oleh Gamuda Land itu mula dibuka kepada orang ramai sejak Februari lepas dan menawarkan 39 tarikan termasuk 24 permainan gelongsor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here