PUTRAJAYA, 4 Julai – Keputusan permohonan ke universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti (KK) dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) sesi akademik 2023/2024 bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumum Jumaat ini.

Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini, keputusan kemasukan di peringkat sijil, asasi dan diploma itu boleh disemak mulai 12 tengah hari pada 7 Julai hingga 5 petang pada 16 Julai melalui platform dalam talian disediakan.

Semakan keputusan permohonan boleh diakses melalui platform https://jpt.utm.my; https://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.ums.edu.my dan http://jpt.umt.edu.my atau melalui aplikasi Mobile UPUPocket di telefon pintar.

 “Pengesahan setuju terima atau tolak tawaran bermula pada 8 Julai hingga 16 Julai di laman web IPTA dan ILKA.

“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan ILKA kepada yang berjaya mulai 8 Julai setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan,” menurut KPT. 

KPT berkata hanya pemohon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline di https://upu.mohe.gov.my bagi kemasukan ke UA dan politeknik.

Rayuan dalam tempoh 10 hari mulai 12 tengah hari pada 7 Julai sehingga 5 petang pada 16 Julai manakala rayuan ke KK dan ILKA boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline.

“Tawaran tempat bagi sesi akademik 2023/2024 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan IPTA atau ILKA tidak dibenarkan.

“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” katanya. 

Sebarang pertanyaaan berkenaan UPUOnline boleh menghubungi Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) secara terus di talian 03-8684 2363, e-mel kepada upu@mohe.gov.my atau sistem maklum balas https://jpt.mohe.gov.my/maklumbalas/ dan UPUChat : http://upu-chat.ml/UPUChat/.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here