GEORGE TOWN, 4 Julai – Keputusan untuk memansuhkan tol Plaza Sungai Nyior tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan memandangkan terdapat perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya berkenaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pihaknya sedang menunggu penimbangan kerajaan Persekutuan mengenai isu pampasan yang perlu dibayar kepada Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) (Penang) Sdn Bhd jika ia dimansuhkan.

“(Perkara) ini adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan yang mempunyai perjanjian dengan syarikat konsesi berkenaan dan sekiranya ia dibatalkan, maka isu pampasan timbul kerana tempoh perjanjian konsesi belum tamat.

“Saya percaya perkara ini perlu dipertimbangkan oleh kementerian yang berkenaan untuk melihat apa pampasan yang diperlukan,” katanya.

Chow berkata jika ia dimansuhkan sebelum tempoh perjanjian konsesi tamat, ia akan melibatkan kerugian pada pihak syarikat konsesi yang telah melabur dalam membina lebuh raya berkenaan.

Katanya sebelum ini, pemansuhan tol di beberapa kawasan lebuh raya pernah dilaksanakan dan ia juga melibatkan isu pampasan kepada syarikat konsesi terlibat.

Sementara itu, ditanya sama ada pemansuhan tol Plaza Sungai Nyior itu akan dimasukkan dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN), Chow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata manifesto PRN masih belum dimuktamadkan setakat ini.

”Kita ambil maklum mengenai isu-isu yang dimainkan (parti pembangkang) termasuk soal pemansuhan tol ini,” katanya.

Semalam, Parti Gerakan Pulau Pinang mendesak DAP yang mengetuai kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung kegagalan memansuhkan tol Plaza Sungai Nyior seperti yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum ke-12 (2008).

Plaza Tol Sungai Nyior mula beroperasi pada Januari 2007 dan pada Oktober 2015, LLB mengumumkan kadar kenaikan tol terbabit antara 50 sen hingga RM1.60.

Kadar baharu tol bagi kelas pertama ialah RM1.20 berbanding 70 sen, kelas kedua RM2.40 berbanding RM1 dan kelas tiga RM3.60 berbanding RM2.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here