SHAH ALAM, 5 Julai — Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan tarikh pengundian serentak bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang ditetapkan pada 12 Ogos adalah sesuai dan munasabah. 

Beliau berkata selain itu, tempoh kempen selama 14 hari bermula 29 Julai juga mencukupi untuk semua parti berkempen dan bakal calon memperkenalkan diri.

“Pada musim dan saat media sosial sudah semakin rancak, saya percaya ia memberikan masa yang sangat luas kepada semua parti untuk menerangkan polisi dan memujuk pengundi.

“Dengan tempoh yang diumumkan juga, semua parti telah ada persediaan untuk berdepan dengan pilihan raya ini dan ia turut dilaksanakan pada Sabtu, iaitu hari cuti untuk semua negeri yang terlibat dengan PRN,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.

Selain itu, tarikh penamaan calon di keenam-enam negeri berkenaan pula ditetapkan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Amirudin berkata sekiranya tempoh berkempen yang diberikan agak pendek, ia akan menyekat beberapa kelompok untuk berkempen.

“Setelah kita melalui beberapa pengalaman dalam pilihan raya, terutama Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 dan PRU15 pada 2022, tempoh (kempen) dua minggu ini agak bersesuaian dengan penggunaan media sosial yang ketara terutamanya pada kedua-dua tahun itu. 

“Saya percaya tempoh itu lebih daripada cukup untuk parti-parti politik atau individu berkempen menterjemahkan dasar, polisi dan tawaran mereka,” katanya.

Berhubung persediaan untuk menghadapi PRN di Selangor, Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri yakin parti mampu mempertahankan penguasaan di negeri itu selain berharap rakyat dapat menerima formula Kerajaan Perpaduan seperti yang berlaku di peringkat pusat demi kestabilan dan kemakmuran.

“Insya-Allah saya percaya dengan segala pengalaman yang dicurahkan, sokongan Perdana Menteri yang bukan sahaja berkempen selaku (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tetapi berkempen sebagai Perdana Menteri  yang ke-10, saya yakin beliau akan mampu memberikan semangat dan impak yang baik kepada keputusan pilihan raya untuk pakatan (Kerajaan) Perpaduan nanti,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibubarkan secara rasmi pada 23 Jun bagi membolehkan PRN diadakan.

Pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) mendominasi Selangor apabila menang 51 daripada 56 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) dan PAS masing-masing mendapat empat dan satu kerusi. 

Kedudukan kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Satu lagi kerusi iaitu DUN Batang Kali diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

 Selain itu, Selangor menjadi negeri yang mempunyai pengundi muda berumur 18 hingga 20 tahun paling ramai iaitu 274,194 orang serta negeri paling ramai mempunyai kumpulan pengundi berumur 90 tahun dan ke atas iaitu sebanyak 8,638 orang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here