SEREMBAN, 7 Julai – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Negeri Sembilan akan menambah 11 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) secara berperingkat bagi membantu menambah pendapatan rakyat dalam perniagaan.

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata setakat ini terdapat 51 PEDi sedia ada di negeri ini yang memanfaatkan penduduk setempat bagi menjalankan perniagaan dalam talian.

“Ada 11 PEDi baharu akan dibina dengan kos pengoperasian melibatkan RM2 juta setahun. Proses tender sedang berjalan.

“Lokasinya adalah di Ampangan, Sikamat, Temiang, Johol, Pilah, Seri Menanti, Bukit Kepayang, Mambau, Rahang, Seremban Jaya dan Chuah,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhan terdapat 186 PEDi baharu dalam proses untuk dibina di seluruh negara selaras saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu ada minimum sebuah PEDi.

Terdahulu Fahmi dalam ucapannya berkongsi pengalaman seorang usahawan PEDi yang ditemuinya di Jemapoh, Kuala Pilah yang mampu menjana pendapatan mencecah lima angka dengan berniaga secara dalam talian.

“Pendapatan usahawan ini mampu meningkat antara tiga hingga lima kali ganda, tadi saya bertemu dengan pengusaha kerepek tempe, sebelum menyertai program keusahawan PEDi, pendapatan bulanan hanya RM4,000-RM5,000, tapi setelah menjual secara online, pendapatannya meningkat menjadi RM12,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata program keusahawan PEDi mampu meningkatkan pendapatan peniaga tempatan melalui jualan produk menerusi platform e-Dagang seperti Shopee, Lazada, TikTok dan Facebook.

Dalam program hari ini Fahmi turut menyampaikan Pakej Perpaduan Prabayar kepada penerima golongan B40 komuniti Labu di sini serta penyampaian sumbangan kepada asnaf.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here