PUTRAJAYA, 12 Julai – Bekas naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zuraida Kamaruddin mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan, bagi merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan dia membayar RM10 juta kepada PKR kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

Notis rayuan difailkan pada hari Isnin, oleh Tetuan Zharif Nizamuddin, firma guaman yang mewakili Zuraida dalam saman itu.

Pada 23 Jun lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman PKR selepas mendapati bahawa bon itu sah, dan mengikat (binding). 

Hakim Datuk Akhtar Tahir turut memerintahkan bekas Ahli Parlimen Ampang itu membayar kos RM50,000.

Saman itu difailkan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 28 Sept 2020 untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya dengan parti itu.

Dalam pernyataan tuntutan Saifuddin berkata, Zuraida telah menandatangani bon RM10 juta berdasarkan terma dan syarat yang ditetapkan. 

Antara syaratnya ialah Zuraida bersetuju untuk membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari, sekiranya berlaku beberapa perkara setelah memenangi pilihan raya atas tiket PKR seperti meletak jawatan dari parti atau bergabung dengan parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Zuraida dalam pembelaannya mendakwa beliau dipaksa menandatangani bon dengan parti itu untuk menjadi calon parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Dalam penghakimannya Hakim Akhtar berkata hujah Zuraida bahawa dia menandatangani bon itu dalam keadaan dures atau paksaan adalah tidak berasas.

“Mahkamah mendapati bon itu adalah perjanjian sah yang mengikat defendan (Zuraida) untuk membayar RM10 juta seperti yang dijanjikan sekiranya keahlian beliau ditamatkan,” katanya sambil menambah reputasi keahlian defendan adalah disebabkan oleh salah laku defendan sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here