MELAKA, 13 Julai – Sebanyak 526 kes demam denggi direkodkan di Melaka sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 27 yang berakhir pada 8 Julai lepas, dengan 28 kes baharu dilaporkan sepanjang minggu lepas bermula 2 Julai.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata sehingga ME 27 berkenaan, sebanyak 18 wabak dilaporkan di negeri itu dan dua daripadanya dilaporkan masih aktif iaitu di Taman Melaka Baru Seksyen Dua dan Taman Kota Laksamana.

“Dua wabak yang masih aktif berkenaan dijangka tamat masing-masing pada 18 dan 21 Julai ini. Sehingga ME 27, tiada kes kematian akibat demam denggi didaftarkan berlaku di negeri ini dan Melaka berada di kedudukan negeri ke-10 bagi kes demam denggi.

“Secara purata, sebanyak 20 kes demam denggi direkodkan di Melaka setiap minggu dan sehingga ME 27 pada tahun ini, kes berkenaan dilaporkan meningkat sebanyak 265 kes berbanding 261 kes dalam tempoh sama tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri menerusi beberapa agensi termasuk Jabatan Kesihatan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) merangka pelbagai program bagi mengekang peningkatan kes demam denggi, antaranya gotong-royong di kawasan perumahan khususnya di lokaliti berisiko pembiakan nyamuk Aedes.

Katanya penduduk juga digesa turut melakukan pemeriksaan secara berkala atau membersihkan kawasan rumah secara lebih kerap bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Dalam pada itu, Ngwe berkata pemeriksaan dan penguatkuasaan di premis makanan atau perniagaan akan dipertingkat bagi memastikan aspek kebersihan diberi keutamaan khususnya menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Beliau berkata aspek kebersihan melibatkan premis makanan amat penting bagi menarik kedatangan pengunjung selain memberi imej positif kepada pelancong tentang Melaka.

“Lebih banyak operasi pemeriksaan akan dijalankan di medan selera, restoran dan kedai makan bagi memastikan peniaga mematuhi aspek kebersihan ditetapkan Jabatan Kesihatan negeri dan PBT dalam mengendalikan makanan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here