BALIK PULAU, 18 Julai – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meningkatkan usaha bagi mereformasi sistem kesihatan negara untuk kesejahteraan rakyat selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang telah diluluskan di Parlimen baru-baru ini.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata KKM juga akan mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan mengutamakan penyampaian penjagaan kesihatan primer.

“Sepertimana ramai sedia maklum, KKM telah menempa sejarah apabila berjaya membentangkan Kertas Putih Kesihatan di Parlimen yang menggariskan empat tonggak serta 15 strategi reformasi kesihatan untuk tempoh 15 tahun akan datang bagi mewujudkan satu sistem kesihatan yang memfokuskan kepada perkhidmatan pencegahan dan promotif supaya rakyat kekal sihat serta sejahtera.

“Kertas Putih Kesihatan ini ialah langkah pertama dalam perjalanan yang panjang mereformasi sistem kesihatan negara dan usaha ini memerlukan peralihan kepada model perkhidmatan baharu melalui penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih komprehensif serta lebih dekat dengan komuniti.

“Perkhidmatan kesihatan premier akan berperanan sebagai barisan pertahanan pertama untuk memantau dan mengurus status kesihatan penduduk serta sumber bagi penjagaan kesihatan primer akan dipertingkatkan dari segi peruntukan, sumber manusia, fasiliti dan kelengkapan,” katanya.

Mengulas mengenai bangunan baharu Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar HBP, Dr Zaliha berkata projek bernilai RM28.9 juta itu siap sepenuhnya pada 28 Jan lepas dan mula beroperasi pada 24 Mac bagi menggantikan bangunan jabatan kecemasan lama yang telah berusia lebih 100 tahun.

Katanya, dengan beroperasinya bangunan baharu yang menempatkan Jabatan Kecemasan, Jabatan Pesakit Luar, Jabatan Forensik, Jabatan Patologi dan perkhidmatan lain yang berkaitan, ia akan membantu dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan terutamanya yang melibatkan kes-kes kecemasan serta trauma.

“KKM sentiasa komited dalam mempertingkatkan kualiti kemudahan dan infrastruktur fasiliti kesihatan di Pulau Pinang, dengan beroperasinya bangunan baharu ini ia pastinya memberikan kesan positif kepada rakyat di Balik Pulau … mereka tidak perlu lagi ke Hospital Pulau Pinang (HPP) yang agak jauh dari kawasan mereka, malah kualiti ditawarkan di HBP setanding dengan HPP,” katanya.

Dr Zaliha berkata selain itu, projek pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Air Putih, di sini berada dalam fasa akhir penyiapan dan dijangka siap sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini yang sebahagian perkhidmatan rawatan pesakit luar di HBP juga akan diagihkan ke klinik kesihatan itu.

Beliau berkata klinik kesihatan baharu yang terletak kira-kira 3 kilometer dari HBP akan dapat mempertingkatkan perkhidmatan di peringkat primary healthcare di daerah Barat Daya, dan seterusnya membantu mengurangkan kesesakan di HBP kerana rawatan awal serta ringan dapat dijalankan di klinik kesihatan terlebih dahulu terutamanya melibatkan rawatan kecemasan di zon hijau.

“Pada lawatan di HBP hari ini, saya mengumumkan KKM meluluskan sebanyak RM200,000 peruntukan tambahan bagi menaik taraf bangunan Jabatan Kecemasan yang lama untuk digunakan sebagai Unit Rehabilitasi dan Klinik Dietatik serta kemudahan lain yang berkaitan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here