BUKIT MERTAJAM, 18 Julai – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merancang untuk mewujudkan Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di semua hospital kerajaan bagi menyediakan penginapan sementara kepada waris pesakit yang kurang berkemampuan.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata fasiliti itu membantu menjimatkan kos penginapan waris atau keluarga pesakit dengan purata penjimatan antara RM100 hingga RM150 sehari.

Katanya pelaksanaan inisiatif itu jelas memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Memang ada perancangan (KPWKM) mahu semua hospital di seluruh negara ada Anjung Kasih YKN namun semua itu bergantung kepada kemampuan kita dan sumbangan daripada penderma terutama daripada syarikat korporat, cuma setiap hospital ada keperluan berbeza terutama kemampuan setempat.

“Anjung Kasih YKN merupakan penginapan sementara untuk golongan yang memerlukan khususnya ahli keluarga pesakit yang tidak berkemampuan namun mempunyai keperluan untuk menjaga pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan,” katanya.

Nancy bersama Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa merasmikan premis penginapan itu yang mula beroperasi Julai tahun lepas serta mendapat tajaan RM1 juta daripada syarikat konglomerat Kumpulan Sunway bagi menaik taraf bangunan, kelengkapan perabot dan kemudahan fasitliti di situ.

Beliau berkata ketika ini terdapat Anjung Kasih YKN di 18 hospital di seluruh negara dan terbaru akan dibuka di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kelantan, hujung tahun ini.

Katanya menginap di Anjung Kasih lebih menjimatkan berbanding di hotel bajet atau rumah tumpangan, malah pelbagai kemudahan turut disediakan seperti bilik rehat, bilik mandi, pantri dan ruang mencuci pakaian yang lengkap seperti hotel tiga bintang.

“Perkhidmatan Anjung Kasih YKN menekankan konsep selesa, selamat dan berkualiti demi memastikan kebajikan kumpulan ini… sehingga Mei lepas, perkhidmatan tersebut telah dimanfaatkan seramai 89,864 orang waris pesakit..” katanya.

Sementara itu, Zaliha berkata Anjung Kasih HSJ mempunyai 72 katil yang dibahagikan kepada enam bilik keluarga dengan 12 katil manakala 12 bilik bujang mempunyai 60 katil selain kemudahan lain seperti bilik untuk orang kurang upaya (OKU) dan lain-lain.

Beliau berkata HSJ merupakan hospital pakar utama dan juga ketua kluster bagi Hospital Kluster Seberang Perai merangkumi Hospital Kepala Batas, Hospital Bukit Mertajam dan Hospital Sungai Bakap serta ia menerima rujukan pesakit bukan sahaja dari Pulau Pinang tetapi juga dari negeri jiran seperti Perak, Kedah dan Perlis.

Katanya jumlah pesakit yang menerima rawatan dan dirujuk ke HSJ secara puratanya hampir 6,500 orang sebulan dan kemasukan ke wad pula sekitar 4,000 orang sebulan.

“Berdasarkan kepada maklumat ini amat jelas menunjukkan bahawa betapa pentingnya kemudahan Anjung Kasih ini dibangunkan di hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan yang memberikan rawatan perubatan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Inisiatif yang mulia ini sudah pasti memberi kesan positif ke atas psikososial dan emosi waris pesakit,” katanya.

Pada majlis itu, Zaliha turut mengumumkan peruntukan tambahan RM150,000 bagi menaik taraf dan pembaikan serta pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan di HSJ.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here