ALOR SETAR, 18 Julai – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk kerja membaiki, menaik taraf serta membina jeti pendaratan ikan di negara ini bagi menjamin keselesaan dan keselamatan nelayan.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata langkah itu bagi memastikan nelayan dapat meneruskan aktiviti tangkapan ikan sekali gus melaksanakan agenda keterjaminan bekalan makanan negara.

“Negara tidak boleh berhadapan dengan krisis bekalan ikan dan memerlukan bekalan ikan yang cukup untuk melaksanakan agenda keterjaminan makanan itu…jadi usaha-usaha ini kita nak memastikan nelayan di sini meneruskan aktiviti tangkapan ikan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Ramah Mesra MADANI Libat Urus Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Kedah di Jeti Pendaratan Ikan Seberang Kota di sini hari ini.

Muhammad Faiz berkata kerajaan telah meluluskan RM75,900 untuk membaik pulih jeti pendaratan ikan di Kuala Kedah manakala RM20,000 lagi membina sebuah tandas awam di jeti itu.

Pada program itu, seramai 59 nelayan di Kedah menerima bantuan pukat manakala seorang nelayan lagi mendapat bantuan sebuah enjin bot dengan nilai keseluruhannya hampir RM50,000.

Muhammad Faiz berkata nelayan juga dapat meningkatkan pendapatan mereka dengan menjual terus hasil tangkapan kepada pengguna tanpa melalui banyak tapisan rantaian bekalan sekiranya jeti pendaratan ikan di negara ini diperkemaskan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here