JOHOR BAHRU, 18 Julai – Seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan 40-an kerugian lebih RM100,000 dipercayai akibat ditipu seorang lelaki dalam satu penipuan percintaan dalam talian, sejak April lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata wanita berkenaan yang bekerja di sebuah institusi pendidikan, telah mula berkenalan dengan lelaki berkenaan sejak penghujung bulan Mac selepas mendapat pesanan ringkas daripada suspek menerusi aplikasi Messenger, yang kemudiannya diteruskan menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata suspek kemudiannya memberitahu mangsa yang dia akan ke Malaysia bagi urusan tuntutan pampasan kematian bapanya di sebuah syarikat di Sarawak.

Kamarul Zaman berkata pada pertengahan bulan April lepas, lelaki itu mendakwa telah sampai di Malaysia dan menghubungi mangsa bagi mendapatkan bantuan kewangan untuk membiayai kos penginapan dan juga bayaran kepada Bank Dunia untuk urusan pengeluaran wang berjumlah US$5.5 juta. 

“Mangsa turut dijanjikan sejumlah wang yang lumayan sekiranya dapat memberikan bantuan kewangan tersebut.

Tertarik dengan tawaran yang diberikan, antara 11 April tahun ini sehingga 12 Jun lepas, mangsa telah melakukan 11 transaksi pemindahan wang daripada akaun miliknya ke dalam akaun bank yang diberikan suspek melibatkan jumlah keseluruhan RM142,080,” kata Kamarul Zaman dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata Polis Kontinjen Johor telah menerima laporan sebanyak 64 kes penipuan dalam talian, melibatkan warga pendidik sebagai mangsa dengan kerugian lebih RM2.5 juta bagi tempoh 1 Januari tahun ini sehingga 15 Julai lepas.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar jangan mudah terpedaya atau percaya pada individu yang baharu dikenali melalui media sosial terutama apabila berurusan secara dalam talian bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here