Teh tarik merupakan minuman harian rakyat Malaysia.  Ada yang sukakan teh bercampur dengan susu cair  dan ada juga suka dengan susu pekat bercampur dengan susu cair. “Bagi Kaw” sudah pastinya. Perkataan “kaw” itu sendiri datangnya bukan dari bahasa Melayu atau India tetapi dari bahasa cina (bahasa Hokkien) yang bermaksud pekat atau lebih mantap di dalam pembuatan teh tarik.  Di negeri India pula, teh tarik ini dicampur dengan susu segar.

Proses pembuatan minuman ini menggunakan kaedah tarik.  Serbuk teh dicampurkan dengan air panas dan dibiarkan hingga teh larut dengan menggunakan penapis jaring kain yang nipis sebelum dicampur dengan susu cair dan susu pekat.  Bancuhan ini selalunya menggunakan kole aluminium untuk dituang dan ditarik secara bergilir-gilir sehingga membentuk buih yang pekat di atas permukaan dan dituang ke dalam gelas untuk diminum.  Rasa teh yang  manis berkrim dan sedikit pahit dihujungnya mampu menambat hati bila diminum bersama rakan-rakan tidak kira pagi, petang atau malam.

Tahukah anda apakah jenis teh yang digunakan untuk membuatkan anda datang semula pada kafe atau restauran yang sama mengikut kesedapan teh yang mereka bancuh?

Ada beberapa jenis teh yang dipakai oleh kedai makan di sekitar Kuala Lumpur. Yang pastinya setiap kedai memakai serbuk teh yang dibeli secara borong daripada pembekal teh.  Tempahan teh ini mengikut citarasa pembuat teh tersebut. Ada mencampurkan beberapa jenis serbuk teh ini sebagai contoh serbuk teh dari Ceylon bercampur dengan serbuk teh dari India dan teh tempatan seperti serbuk teh keluaran Boh atau Cap Istana.

Sekiranya ditanya apa rahsia selain daripada jenis teh sebagai bahan utama kesedapan teh, rata-rata mengatakan untuk memastikan teh itu sedap, air panas menggelegak digunakan untuk membuat teh tarik ini.

Yang pastinya sekiranya anda ingin membuat teh tarik dari rumah, teh uncang Boh atau Lipton boleh digunakan dan pastikan airnya cukup panas untuk penghasilan teh tarik anda.  Kalau diletakkan secubit garam dapat merasakan lemak teh tarik yang anda cipta.  Selamat mencuba!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here