JOHOR BAHRU, 24 Julai – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menyasarkan untuk menerima kemasukan 500 pelajar baharu pada program asasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sesi pertama 2023/2024 di kesemua lima politeknik rintis, hingga Rabu ini. 

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Mohd Zahari Ismail berkata Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi JPPKK dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) telah menyumbang lebih 40 peratus daripada guna tenaga TVET negara. 

“Ini merupakan satu pencapaian besar dan tunjang pembangunan negara, maka wajar program Asasi TVET ini diperkenalkan pada tahun ini,” katanya.

Mohd Zahari berkata kadar kebolehpasaran graduan TVET khususnya di politeknik dan kolej komuniti telah melebihi 95 peratus, sekali gus menunjukkan graduan yang dihasilkan sangat diminati oleh pihak industri.  

Terdahulu, beliau melakukan tinjauan pada sesi pendaftaran pelajar di Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN), Pagoh di Muar.  

Program Asasi TVET ialah inisiatif terbaharu Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkasakan TVET sebagai persediaan khusus bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pengajian selama setahun di mana-mana lima politeknik rintis, seterusnya pelajar yang berjaya menamatkan pengajian berpeluang ke peringkat ijazah sarjana muda di MTUN. 

Selain PTSN, empat lagi politeknik yang menawarkan program Asasi TVET ialah Politeknik Merlimau, Melaka; Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang; Politeknik Ungku Omar, Perak dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here