KANGAR, 26 Julai – Generasi muda khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dinasihatkan agar tidak terlampau bergantung dengan ekonomi gig dalam membina kerjaya, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud.

Beliau berkata segmen ekonomi gig memberi sumber pendapatan, namun anak muda tidak boleh terlalu bergantung dengannya sebab tidak tahu berapa lama ia akan kekal.

“Kita tidak tahu sampai bila ekonomi gig ini akan bertahan, jika dilihat sekarang ini permintaan terhadap penghantaran barang (e-hailing) umpamanya semakin berkurangan.

“Adalah wajar bagi golongan muda memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan sijil seperti kemahiran menerusi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau (melanjutkan pelajaran) di  institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Pembangunan Kemahiran Dr Mohd Yusoff Abu Bakar dan Pengarah Institut Latihan Perindustrian  (ILP) Kangar Mohd Yusri Mohd Rahim.

Mustapha berkata banyak peluang melanjutkan pelajaran telah disediakan kerajaan dan pihak swasta.

“Jangan berhenti belajar, golongan muda yang ingin bekerja selepas SPM masih boleh menyambung pelajaran mereka secara separuh masa atau pada hujung minggu,” katanya.

Menurutnya berdasarkan data Jejak TVET yang dilakukan oleh pihaknya, 95 peratus daripada golongan muda yang menyertai TVET mendapat pekerjaan atau menjadi usahawan.

“Sasaran kementerian ialah melahirkan 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030, namun setakat ini kita masih di tahap 28 peratus dan ini agak membimbangkan kerana tenaga mahir yang tak mencukupi untuk mencapai negara maju,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang berusaha mencapai sasaran untuk menandatangani 50 perjanjian persefahaman (MoU) dengan pemain industri bagi segmen TVET negara menjelang hujung akhir tahun ini.

Katanya dengan MoU tersebut pelajar TVET dapat  kepakaran dan pendedahan teknologi terbaharu bagi memenuhi keperluan industri masa kini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here