NIBONG TEBAL, 26 Julai – Kerajaan Pulau Pinang melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) akan membangunkan projek Rumah Mampu Milik (RMM) Permatang Tinggi, di sini membabitkan kos keseluruhan RM150 juta yang dijangka bermula tahun depan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata projek pembinaan 704 rumah bandar di tanah seluas 10 hektar itu dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2028.

“Projek RMM Permatang Tinggi adalah milikan kekal dan melibatkan pembinaan 704 unit rumah jenis C3 iaitu rumah bandar dua tingkat berkeluasan 950 kaki persegi untuk tingkat bawah manakala 1,132 kaki persegi bagi tingkat atas dengan harga jualan RM250,000.

“Projek RMM Permatang Tinggi atau sebelumnya dikenali sebagai Kampung Tongkang adalah projek atau produk pertama LPNPP di kawasan Seberang Perai dan kedua di negeri ini. Besar harapan saya untuk melihat kemajuan yang sama terhadap projek tersebut yang dilengkapi dengan fasiliti setanding dengan kejiranan berpengawal dan berpagar lain,” katanya.

Pada majlis itu turut diadakan majlis penandatanganan perjanjian pembangunan antara LPNPP dan PTL Properties Sdn Bhd serta majlis penandatanganan perjanjian persefahaman perkongsian keuntungan antara LPNPP dan kerajaan negeri.

Chow berkata melalui projek RMM Permatang Tinggi, LPNPP akan memberi sumbangan hasil sebanyak RM1.5 juta kepada kerajaan negeri secara berperingkat iaitu 10 peratus daripada nilai hak yang ditawarkan.

Katanya projek itu juga merupakan projek kedua LPNPP menyumbang kepada hasil kerajaan negeri selepas projek RMM Bukit Gedong atau dikenali sebagai The Millennia @ Bayan Lepas dengan menyumbang sebanyak RM4.6 juta.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui LPNPP juga telah meluluskan Rancangan Pelan Induk 2021-2025 yang mengandungi 14 projek perintis Rumah Mampu Milik Pulau Pinang (RMMPg) yang terdiri daripada pemajuan RMM dan pembaharuan semula bandar (PSB) dengan ia akan menyediakan sebanyak 39,992 RMM.

Menurut Chow kerajaan Pulau Pinang sentiasa dan akan terus menumpukan kepada kesejahteraan dan peningkatan kualiti hidup rakyat menerusi penyediaan perumahan yang merupakan komponen penting dalam mewujudkan institusi keluarga sejahtera serta selamat.

“Usaha menyediakan RMM secukupnya bukan hanya pada angka tetapi turut memberi penekanan kepada aspek kualiti dan persekitaran yang mempengaruhi daya huni komuniti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here