GURUN, 27 Julai – Kementerian Sumber Manusia menerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bersedia menawarkan kepakaran bagi pelaksanaan penilaian risiko terhadap ancaman bahaya persekitaran dan peralatan yang digunakan di sekolah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Majlis Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) Mustapha Sakmud berkata langkah itu sebagai menyahut saranan Kementerian Pendidikan supaya penilaian risiko dilaksanakan di sekolah.

“Aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan sememangnya merupakan bidang kepakaran kita, kita ada JKKP, kita ada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).

“Kita boleh berikan kepakaran ini untuk melatih guru-guru supaya mereka boleh membuat penilaian risiko sendiri,” katanya.

Pada 22 Julai lepas, media melaporkan Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah melakukan penilaian risiko untuk memastikan semua infrastruktur dan kemudahan berada dalam keadaan selamat digunakan selain mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Ia susulan kejadian seorang murid perempuan tahun tiga di sebuah sekolah di Perak yang cedera selepas tangki pam tandas jenis seramik jatuh ke atasnya dan menyebabkan kecederaan serta kes kematian murid tahun satu yang dipercayai terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah di Melaka, baru-baru ini.

Mustapha berkata pihaknya boleh menyediakan latihan kepada guru terbabit dan mereka akan memberi penerangan kepada guru lain dan pelajar sekolah mengenai keselamatan dan kesihatan di sekolah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here