JOHOR BAHRU, 28 Julai – Isu setinggan melibatkan 3,000 penempatan di daerah Johor Bahru, dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun menjelang tahun 2026, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata secara keseluruhan, daerah itu merekodkan sebanyak 8,973 penempatan setinggan melibatkan 79 lokasi, termasuk di kawasan berhampiran sungai.

“Sebelum ini, penduduk berkenaan telah ditawarkan kediaman lebih bersesuaian, namun setelah mereka terima kunci untuk kediaman baharu, rumah setinggan asal mereka masih dihuni orang lain dan rumah setinggan itu kekal, jadi satu kaedah lebih baik akan dilaksana untuk menangani isu ini.

“Kita tumpukan Johor Bahru kerana paling banyak setinggan di negeri ini ialah di daerah ini, memandangkan majoriti populasi Johor pun dari Johor Bahru, jadi isu-isu pun selalunya di daerah ini,” katanya.

Onn Hafiz berkata mekanisme itu juga, akan membantu kerajaan negeri menjayakan program Johor Bersih, dalam usaha menjadikan negeri itu berstatus negeri maju menjelang 2030.

Terdahulu, beliau dalam ucapan perasmian majlis berkenaan berkata sektor hartanah Johor semakin rancak, selepas jumlah kediaman tidak terjual di negeri ini menunjukkan penurunan berbanding beberapa tahun terdahulu.

“Rekod menunjukkan pada Februari tahun lepas, terdapat lebih 16,000 kediaman tidak terjual khususnya unit apartment di Johor, namun jumlah itu telah berkurangan dan ketika ini, tinggal 13,683 unit kediaman tidak terjual.

“Untuk memastikan perkara itu dapat diatasi, kerajaan negeri telah mengadakan pertemuan dengan pemaju hartanah, bagi mengkaji kaedah terbaik yang membolehkan situasi menang-menang antara kerajaan negeri, pemaju dan juga pembeli. Ini kerana kita tidak mahu ada sebarang projek ‘gajah putih’ di negeri ini,” katanya.

JPEX 2023 berlangsung selama empat hari mulai hari ini hingga Ahad, menawarkan lebih 30,000 unit kediaman kepada semua lapisan masyarakat termasuk B40, M40 dan T20, selain kira-kira 70 reruai pameran disediakan terdiri daripada pemaju hartanah, agensi kerajaan dan institusi kewangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here