KUALA LUMPUR, 29 Julai — Proses penamaan calon hari ini menyaksikan buat kali pertama penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berarak bersama bagi memberi sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan ke pusat penamaan calon, pagi ini.

Perarakan yang bermula sekitar 8 pagi di kebanyakan pusat penamaan calon itu, kelihatan ‘berwarna-warni’ apabila penyokong mengenakan pakaian serta membawa bendera dengan tema warna parti masing-masing iaitu merah dan biru tua ‘original’ (asli).

Mereka dilihat mematuhi peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu orang awam serta penyokong yang mengiringi calon dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter daripada sempadan pusat penamaan.

Antara yang mencuri tumpuan penyokong BN yang menunjukkan solidariti dengan mengibarkan bendera PH sambil menanti ketibaan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, DUN Paloh dan DUN Galas N45 bagi penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

Turut kelihatan dua lelaki bermain alat muzik tradisional India bagi mengiringi penyokong PH-BN memberi sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan bagi DUN Perai, DUN Bukit Tengah dan DUN Bukit Tambun ke pusat penamaan calon di Kolej Vokasional Seberang Perai di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Sementara itu, hujan tidak menghalang penyokong PH-BN untuk memberi sokongan tanda solidariti kepada calon Kerajaan Perpaduan bagi DUN Suka Menanti, DUN Kota Darul Aman dan DUN Alor Mengkudu di Kedah, dengan beberapa antara mereka menyebut ‘hujan rahmat’ bagi menggambarkan keadaan itu.

Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam negeri bermula hari ini dengan 173 pusat penamaan calon dibuka bermula 9 pagi ini dan tamat pada pukul 10 pagi.

Bakal calon mewakili parti politik atau bertanding atas tiket Bebas pada PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu mempunyai tempoh hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus di semua pusat penamaan calon.

Selain 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan di enam negeri itu, turut diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu setelah kerusi berkenaan diisytihar kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagi PRN dan PRK berkenaan tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula hari ini selepas pengisytiharan calon yang layak bertanding dan berakhir pada 11.59 malam, 11 Ogos.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here