KOTA KINABALU, 31 Julai – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sektor koperasi negara mampu bergerak secara bersepadu menerusi pembentukan federasi yang membabitkan model perniagaan penggabungan badan itu.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata menerusi pembentukan federasi, koperasi mempunyai potensi besar untuk meningkatkan sosioekonomi serta kesejahteraan rakyat dan ia kini menjadi penyumbang ketiga kepada ekonomi negara selepas sektor kerajaan dan swasta, yang menyaksikan jumlah keanggotaan 7.3 juta dengan modal syer serta yuran terkumpul sebanyak RM16.5 bilion.

“Kerajaan yakin jika koperasi di negara ini dapat bergabung melalui federasi, jaminan keselamatan makanan negara akan diperkukuh seterusnya dapat mengimbangi kos makanan yang semakin meningkat.

“Ini kerana model perniagaan melalui penggabungan koperasi bukan hanya dapat meningkatkan keupayaan pengeluaran produk dan perkhidmatan gerakan koperasi melalui ekonomi skala malahan boleh memendekkan rantaian bekalan dengan mengurangkan peranan dan penglibatan orang tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutupan Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick serta Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir.

Ahmad Zahid, yang merujuk gabungan koperasi pertanian di Korea Selatan iaitu Federasi Koperasi Pertanian Kebangsaan (NAFC) sebagai contoh, berkata ia menjadi organisasi puncak bagi 1,118 koperasi dengan jumlah keahlian 2.1 juta petani merangkumi pemilik, pengguna dan pengawal koperasi. 

“Federasi itu menyokong koperasi anggota dengan menyediakan sistem untuk petani Korea yang majoritinya mengalami masalah kapasiti pengeluaran yang lemah dan sumber kewangan tidak mencukupi,” katanya.

Beliau berkata NAFC memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Korea dan berkembang menjadi antara koperasi paling berjaya di dunia.

Justeru, Ahmad Zahid menyeru gerakan koperasi di Malaysia agar bergerak secara bersepadu untuk membantu kerajaan dalam agenda menoktahkan kemiskinan tegar sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat dan berharap ia dapat terlibat secara serius ke arah membantu ikhtiar kerajaan menurunkan harga barang keperluan asas seperti gula, tepung serta minyak masak.

“Gerakan koperasi juga boleh menjadi wahana efektif bukan hanya dalam pembangunan usahawan tetapi juga memainkan peranan besar bagi membantu B40 dan golongan rentan menangani cabaran peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Beliau juga menzahirkan keyakinan bahawa Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor akan sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada segala usaha yang dijalankan oleh koperasi dalam memperkasakan lagi ekonomi serta kesejahteraan rakyat negeri itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here