ALOR SETAR, 31 Julai – Majikan dan pihak industri diseru agar menghantar lebih ramai pekerja tempatan mahupun asing mendapatkan pasport keselamatan sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata walaupun penyertaan dalam program itu dilihat semakin meningkat sejak diperkenalkan pada 2000, namun tahap kesedaran majikan berkaitan perkara berkenaan masih lagi rendah.

“Memang jumlah penyertaan makin meningkat tapi saya rasa tahap kesedaran tu masih rendah lagi …sebab itu saya kata ini tak semestinya dibuat oleh majikan-majikan yang beroperasi dalam sektor berbahaya sahaja tetapi ia terbuka kepada semua sektor walaupun kita lihat kurang bahaya  tetapi isu berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan ini terbuka kepada semua.

Jadi saya menyeru kepada pihak majikan agar memberi perhatian perkara ini dan menghantar pekerja mereka untuk mendapatkan pensijilan (pasport) ini, ini penting, contohnya dalam pembinaan mereka (pekerja) yang pergi ke tapak pembinaan kalau mereka tak ada pasport ini mereka tak boleh masuk, setakat ini paling banyak di dalam sektor pembinaan, minyak dan gas yang memerlukan pengiktirafan untuk pekerja-pekerja turun ke tapak),” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pejabat Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Wilayah Utara serta melancarkan Program Keselamatan Pasport E-Idaman (EISP) khas bagi pekerja yang menjalankan pengurusan sisa pepejal, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud.

Sementara itu, Sivakumar berkata sejak pejabat NIOSH Wilayah Utara diibuka pada 1 April lepas, seramai 1,452 pekerja di Kedah dan Perlis telah mengikuti 66 program latihan yang disediakan di situ.

“NIOSH Wilayah Utara menyasarkan seramai 5,000 pekerja di Kedah dan Perlis dapat mengikuti latihan di sini tahun ini…dan seluruh negara kita menyasarkan untuk melatih 200,000 peserta setiap tahun di ibu pejabat di Bandar Baru Bangi serta lima pejabat wilayah dan 12 pejabat satelit di seluruh negara,” katanya.

Katanya, sepanjang tahun lepas, NIOSH berjaya melatih 198,941 peserta melalui 11,153 program yang telah dilaksanakan.

Program Pasport Keselamatan NIOSH mula diperkenalkan pada tahun 2000 sebagai usaha kerajaan meningkatkan tahap kesedaran pekerja terhadap aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here